Majlis tilawah dan hafazan al-Quran di Selangor buka tirai

Iklan
Majlis diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini menyaksikan penyertaan seramai 14 qari dan empat qariah dalam tilawah al Quran.

SHAH ALAM - Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1444H/2023M membuka tirainya dan berlangsung selama empat hari bermula pada malam Selasa.

Majlis diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu menyaksikan penyertaan seramai 14 qari dan empat qariah dalam tilawah al Quran.

Iklan
Iklan

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penganjuran majlis itu merupakan program rasmi kerajaan negeri diadakan pada saban tahun.

Menurutnya, ia merupakan landasan kepada rakyat Selangor dalam membudayakan pembacaan, penghayatan dan mengambil iktibar isi kandungan al-Quran dengan mengamalkan secara berterusan dan dijadikan agenda utama dalam pembentukan penyatuan ummah.

Iklan

"Penganjuran majlis seumpama ini juga memberi ruang dan peluang kepada huffaz memperlihatkan kebolehan hafazan mereka dan menilai sejauh mana penguasaan mereka dalam bidang hafazan al-Quran.

Mohd Zawawi menambah menghafaz al-Quran bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat Islam, malah semenjak beratus tahun dahulu, ia telah lama diamalkan oleh umat Islam khususnya di zaman para sahabat.

Iklan
Mohd Zawawi

Menurutnya, Surah Al-Qamar sendiri telah menyentuh bahawa al Quran adalah kitab suci yang dimudahkan untuk dihafal dan diulang-ulang serta ia juga dimudahkan untuk diingati dan difahami.

"Ke arah itu, bagi meningkatkan komitmen rakyat negeri Selangor untuk berterusan menghayati al-Quran, saya berharap agar Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran dapat diperluaskan ke daerah-daerah untuk mencari qari dan qariah serta para huffaz di negeri yang penuh kemakmuran ini.

"Ini juga sebagai salah satu langkah untuk menyemarakkan aktiviti-aktiviti berkaitan penghayatan penerapan al Quran, selain untuk memastikan bahawa negeri Selangor sentiasa mempunyai pelapis untuk menjadi qari dan qariah serta penghafaz al Quran yang akan memberi sumbangan besar kepada orang ramai dan kepada negeri ini khususnya," katanya.

Selain itu, katanya, tindakan dan mandat diberikan kepada Jabatan Agama Islam Selangor dengan tertubuhnya Akademi Literasi Al Quran Selangor pada Oktober tahun lalu diuruskan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diharapkan dapat menjentik hati belia di negeri ini untuk menyertai akademi yang penuh bermanfaat itu.

"Ini penting supaya ilmu pengajian al Quran dapat diterapkan dalam jiwa individu sekali gus melahirkan umat Islam yang cintakan al-Quran di negeri Selangor khasnya dan di Malaysia amnya," katanya.