KUALA LUMPUR - Kapten skuad badminton negara bagi Piala Sudirman 2023, Tan Kian Meng tidak membezakan pemain sama ada bergelar pemain kebangsaan atau pemain profesional dalam menggalas cabaran negara di kejohanan tersebut yang akan berlangsung di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei ini.
Kian Meng berkata, gelaran tersebut hanya tercatat di atas kertas dan matlamat setiap pemain adalah untuk menghadiahkan kejayaan buat negara dengan meletakkan sasaran mara ke saingan separuh akhir.
"Layanan terhadap pemain itu sama ada pemain profesional atau tidak, kekal sama. Apabila sudah masuk ke gelanggang tiada istilah itu ditimbulkan. Kita bermain sebagai satu pasukan mewakili Malaysia.
"Kem bina semangat yang diadakan baru-baru ini juga membantu dalam membentuk persefahaman skuad negara," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelepasan Skuad Piala Sudirman di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kian Meng yang bakal bergandingan dengan Lai Pei Jing bagi aksi beregu campuran menyifatkan, pelantikan selaku kapten pasukan di pentas itu satu penghormatan buat dirinya.
"Antara tanggungjawab saya adalah menjadi penghubung antara pemain dan jurulatih. Sebagai pemain senior saya harap saya mampu untuk membantu pasukan di Piala Sudirman,” katanya.
Beliau berkata, barisan pemain negara kini berada dalam landasan tepat bagi melangkah jauh pada kejohanan tersebut.
"Semua pemain berada dalam motivasi terbaik. Saya harap pasukan ini boleh beri yang terbaik, serta percaya dengan diri sendiri dalam kejohanan ini," katanya.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia.
Pemain Malaysia perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan pertama atau kedua untuk mara ke saingan suku akhir.
Malaysia tidak pernah merangkul kejuaraan sepanjang pembabitan dalam kejohanan itu yang dipertandingkan sejak 1989 dengan pencapaian terbaik ialah di peringkat separuh akhir pada 2009 dan 2021. - Bernama