MELAKA - Gara-gara pertengkaran mulut kerana menegur payudara seorang wanita, dipercayai jadi punca seorang pengurus syarikat maut ditikam di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini, pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian yang berlaku jam 4 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun datang ke gerai makan tersebut bersama rakan-rakannya dalam keadaan mabuk kira-kira jam 2 pagi.
Menurutnya, selesai makan, mangsa kemudian telah bercakap dengan rakan-rakannya yang menegur saiz payudara seorang wanita yang juga pelanggan di gerai itu.
Katanya, perbualan mangsa dengan rakannya itu telah didengari oleh pengawal peribadi kepada wanita berusia 26 tahun itu, lalu menegur mangsa dan memberitahu bahawa wanita terbabit merupakan majikannya.
"Kemudian berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan teman lelaki kepada wanita tersebut serta pengawal peribadinya.
Jelas beliau, pasukan polis telah bergegas ke lokasi selepas menerima laporan oleh orang awam pada jam 4.15 pagi dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannya dengan menggunakan kenderaan Ford Ranger bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah luka tikaman di jantung,” katanya lagi.
Tambah beliau, berikutan itu tujuh suspek berusia antara 25 sehingga 38 tahun ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Dipercayai mangsa mati akibat ditikam oleh pengawal peribadi itu dan polis turut merampas pisau serta batang besi yang digunakan dalam pergaduhan terbabit," ujarnya.