KUALA LUMPUR - Seorang warga emas mendirikan pondok untuk berteduh daripada panas dan hujan selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran pada 2000.
Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, pondok tersebut dibina sendiri oleh warga emas dikenali Othman di atas tanah berstatus setinggan.
Menurutnya, Othman nekad tinggal di pondok tersebut selepas tidak berkemampuan menyewa rumah.
"Keadaan pondok tersebut sangat daif dengan ketiadaan sumber air dan bekalan elektrik yang sempurna.
"Bagaimanapun, Othman tiada daya dan mampu bertahan serta meneruskan kehidupan sehingga hari ini dengan bantuan ihsan daripada masyarakat dan masjid yang berdekatan," menurut perkongsian di Facebook rasminya pada Selasa.
Sebagai meringankan beban, Skuad Jejak Asnaf agensi itu telah menasihati Othman untuk mencari kediaman yang lebih selesa.
"Othman tidak perlu bimbang mengenai deposit mahu pun sewa bulanan kerana bakal dibantu MAIWP," ujar kenyataan itu.