TANAH MERAH - Kehadiran tiga gajah liar yang dipercayai keluar dari hutan di bukit berhampiran kerana mencari makanan, memusnahkan kira-kira 2,000 tanaman pokok pisang di kebun penduduk di Kampung Air Merah, Lawang, di sini, sejak Januari lalu.
Pemilik kebun, Abu Sufian Hassan, 42, berkata, kejadian terkini disedari oleh penduduk sekitar jam 7 pagi pada Sabtu lalu apabila mendapati pokok-pokok pisang di kebun seluas 2.4 hektar itu patah dan tumbang.
"Pokok-pokok pisang ketika ini berusia enam bulan dan sedang berbuah selepas ditanam bermula November tahun lalu.
"Buah-buah ini sepatutnya sudah boleh dikutip dalam tempoh dua bulan lagi tetapi malangnya banyak yang dimusnahkan dan rosak akibat serangan gajah-gajah,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut pada Selasa.
Menurut bapa tiga anak itu, gajah-gajah berkenaan tidak memakan buah-buah pisang yang masih putik tersebut sebaliknya mematahkan pokok untuk mendapatkan umbut.
"Apabila pokok patah, buah jatuh ke tanah menjadi rosak, berulat dan sudah tidak dapat diselamatkan sekali gus menyebabkan kami mengalami banyak kerugian.
"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan Pejabat Pertanian Tanah Merah. Pegawai-pegawai sudah pun datang melakukan pemeriksaan,” katanya.
Seorang lagi pekebun, Rohana Mat Nor, 42, berkata, amat bersedih dengan kejadian lebih 300 pokok pisangnya yang dimusnahkan oleh haiwan liar tersebut.
"Serangan ini bukan kali pertama malah sudah kejadian ketiga gajah-gajah datang dan merosakkan tanaman.
"Saya sendiri keseluruhan sudah lebih 1,000 tandan pisang musnah akibat gajah-gajah liar, sedangkan pendapatan keluarga saya bergantung pada hasil jualan kerepek pisang daripada pokok-pokok ini,” katanya.
Akuinya, lebih menyedihkan mengenangkan suami yang sanggup mengeluarkan duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk digunakan bagi menyewa tanah dan memulakan tanaman pisang untuk dibuat kerepek sejak dua tahun lalu.
"Kami juga berdepan masalah sama apabila pokok-pokok pisang juga banyak yang patah akibat cuaca panas ketika ini.
"Kami berharap pihak yang Perhilitan segera menangkap gajah-gajah ini untuk dipindahkan ke tempat lain demi keselamatan penduduk dan tanaman kami,” katanya.