Proklamasi Melayu: Naratif lama yang diulang

Iklan
Mohd Azmi

JITRA - Tiada perkara baharu dalam Proklamasi Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurutnya, proklamasi yang turut ditandatangani pemimpin Pas itu juga tidak memberi sebarang inspirasi berhubung agenda Melayu yang dilaungkan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aspirasi proklamasi tersebut bukanlah sesuatu yang menggemparkan, sebaliknya merupakan satu tindakan politik, tanpa membawa faedah ketara kepada masyarakat Melayu Islam.

"12 perkara dalam proklamasi itu bukanlah sesuatu yang terlalu asing. Semua maklum mengenai orang Melayu lemah, mereka dikuasai serta ekonomi mereka dalam keadaan teruk, mereka perlu disatukan semula.

Iklan

"Tidak ada apa-apa yang memberi inspirasi mengenainya, hanya naratif lama dan isu sama dimuntahkan semula, mengulangi perkara yang pernah dilakukan sebelum ini, antaranya Kongres Martabat Melayu dan Resolusi Ekonomi Melayu,” katanya selepas melancarkan program Tabung Selamatkan Al-Aqsa di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini pada Rabu.

Mohd Azmi berkata, orang Melayu sepatutnya menuntut pelaksanaan dasar-dasar sosial-ekonomi yang lebih berkesan, berbanding pengisytiharan proklamasi Melayu.

Iklan

"Paling penting ialah pelaksanaan dasar. Kita ada puluhan agensi yang bertumpu kepada orang Melayu seperti MARA, UDA dan Felda, semak semula peranan semua institusi ini, buat penambahbaikan, bukan dengan adakan proklamasi,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan Dr Mahathir bahawa orang Melayu telah kehilangan kuasa politik, selain menegaskan ia adalah retorik tidak berasas.

"Hanya Pulau Pinang ditadbir Ketua Menteri DAP, semua negeri lain ditadbir Menteri Besar dan Ketua Menteri Melayu, kabinet kerajaan Persekutuan juga dipenuhi orang Melayu. Apa yang Dr Mahathir maksudkan sebenarnya?

"Kalau Dr Mahathir kata orang Melayu lemah dan dikuasai oleh pihak lain, saya pun jadi tanda tanya juga. Kita tahu ekonomi memang di tangan orang bukan Melayu,”ujarnya.

Menurutnya lagi, tidak hairanlah Dr Mahathir yang telah kehilangan pengaruh politik, kini kembali mempengaruhi masyarakat Melayu untuk membina solidariti bersamanya.

"Kerajaan Perpaduan sekarang juga berjanji tidak akan membiarkan orang Melayu menjadi miskin. Ia bukan lagi tentang pengisytiharan tetapi tindakan dan pelaksanaan dasar yang penting," tambahnya.

Pada 3 Mei, beberapa pemimpin Pas telah menandatangani 'Proklamasi Melayu' mengandungi 12 perkara yang menyentuh isu-isu orang Melayu yang menimbulkan ketidaktentuan mengenai masa depan mereka.

Pengisytiharan itu didakwa bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat Melayu, selain menimbulkan ancaman untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Mohd Azmi mengingatkan Pas dan Dr Mahathir sekiranya mereka berjaya menumbangkan Kerajaan Perpaduan menerusi gagasan berkenaan, pentadbiran mereka juga akan berdepan situasi sukar dalam mengharungi iklim politik dan ekonomi.

"Tidak kira siapa yang memimpin negara, akan sentiasa berdepan cabaran berat, tiada jaminan mereka akan berjaya.

"Adalah lebih baik pembangkang teruskan peranan ‘semak dan imbang' secara berkesan untuk bantu negara mengharungi iklim politik dan ekonomi global," tambahnya.

Menurutnya lagi, di sebalik kritikan hebat terhadap Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dinafikan kerajaan sedia ada telah menunjukkan rekod yang baik.

"Adalah tidak adil mengatakan Anwar tidak melakukan apa-apa, banyak pencapaian dilakukan dalam 100 hari pertamanya. Sentiasa ada ruang penambahbaikan malah Anwar bersikap terbuka untuk kritikan membina.

"Kerajaan perpaduan telah menunjukkan kemajuan, ia harus didokong kerana kita tidak mahu lagi tersekat di tengah Jalan apabila sekali lagi kerajaan ditumbangkan. Ia sama sekali tidak boleh diterima, rakyat pun sudah jemu,” katanya.