KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi jaminan untuk tidak menaikan kadar cukai tanah dalam tempoh lima tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya kerajaan akan memastikan hasil tanah dapat digandakan melalui kutipan hasil berulang.
Menurutnya, pemilikan tanah juga akan diberikan kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkanun termasuk Felcra, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Apakah cadangan-cadangan yang akan kita laksanakan kerana kita tidak boleh ‘maintain’ kekalkan dengan status qua. Kita tahu kenaikan gaji, barang naik dan pertambahan penjawat awam dan sebagainya, jadi Kerajaan Negeri kena berusaha untuk mempertingkatkan lagi hasil untuk Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Chan Chun Kuang (PKR- Semambu) pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
Sebelum itu, Chun Kuang ingin tahu perancangan Kerajaan Pahang dalam tempoh lima tahun dalam peningkatan hasil cukai dan adakah kadar cukai akan dinaikan.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, usaha yang akan dilaksanakan ialah dengan meningkatkan hasil tanah tanpa menaikkan cukai tanah.
"Kita akan meningkatkan kutipan hasil yang berulang sebagai contohnya sekarang ini kita ada 740,00 hak milik tanah, yang ini kita akan tingkatkan hingga 1 juta, bermakna hasil tahunan akan meningkat," ujarnya.
Sebelum itu, Wan Rosdy sebelum itu turut memperincikan kutipan hasil negeri sehingga Disember 2022 yang mencecah RM1.288 bilion.
"kutipan hasil tanah merekodkan kutipan tertinggi dengan RM754.8 juta diikuti hutan (RM134.18 juta), air (RM23.85 juta), lain-lain hasil (RM284.15 juta) dan geran persekutuan (RM91.02 juta).