PUTRAJAYA - Statistik pelaporan kes kekerasan terhadap warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan sejak enam tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sebanyak 167 kes kekerasan dilaporkan pada tahun 2017 sebaik Garis Panduan Mencegah & Menangani Kekerasan Terhadap Warga Kerja KKM dilancarkan.
"Pada pasca pelancaran garis panduan ini, 442 kes dilaporkan pada tahun 2018 dan terus meningkat kepada 494 kes setahun kemudian," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun menurut Dr Muhammad Radzi, bilangan kes tersebut sedikit menurun kepada 321 ketika negara menghadapi gelombang Covid-19 pada tahun 2020 dan 260 kes pada tahun seterusnya.
Ujarnya, kekerasan di tempat kerja dalam apa jua bentuk sama ada serangan fizikal, verbal, seksual mahupun bertulis dikenal pasti sebagai salah satu cabaran utama yang boleh mengganggu produktiviti warga kerja kementerian itu.
"Kekerasan ini memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi serta fizikal, seterusnya menjejaskan prestasi kerja.
"Ia sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan," katanya.
Beliau berkata, pelancaran garis panduan ini bersempena dengan Majils Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan & Kesihatan di Tempat Kerja 2023 Peringkat Kebangsaan adalah amat penting dalam usaha mewujudkan tempat kerja yang selamat, sejahtera dan produktif.
"Melalui garis panduan terbaharu ini, kekerasan terhadap warga KKM diharap dapat ditangani dengan lebih berkesan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan tempat kerja terpelihara," katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut juga menunjukkan komitmen pengurusan atasan KKM dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja.
"Pada masa sama mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik dapat disampaikan kepada pelanggan sekiranya gangguan seumpama ini terhadap warga KKM dapat dikurangkan," katanya.
Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan & Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Institut Kanser Negara pada pada Rabu.
Ia merupakan program tahunan yang disarankan oleh International Labour Organisation (ILO) dan disambut pada 28 April setiap tahun di seluruh dunia.
Pada tahun ini, tema sambutan adalah"Persekitaran Kerja yang Selamat & Sihat: Hak Pekerja" sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ILO.