IPOH - Jumlah kes Covid-19 di Perak meningkat mendadak bagi tempoh minggu epidemiologi (ME) ke-18 iaitu sebanyak 318 kes berbanding minggu sebelumnya sebanyak 45 kes.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, pertambahan kes tersebut menunjukkan peningkatan sehingga 86 peratus.
Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sebanyak 135 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital pada ME yang sama dengan peningkatan 41 peratus berbanding minggu sebelumnya.
"Berdasarkan data KKMNOW menerusi kemas kini pada 6 Mei 2023 bagi negeri Perak, sebanyak 489 kes Covid-19 telah dilaporkan dalam tempoh 23 April 2023 sehingga 6 Mei 2023.
"Daripada jumlah tersebut, 376 pesakit (77 peratus) telah dimasukkan ke hospital dan hanya 46 pesakit (19.6 peratus) menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi
(ICU). Majoriti pesakit yang menerima rawatan di hospital adalah kategori 2B (55 peratus atau 129 kes)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sivanesan berkata, kadar penggunaan katil hospital di negeri ini secara keseluruhannya adalah 67.2 peratus manakala kadar penggunaan katil ICU pula adalah 62.1 peratus.
Menurutnya, peningkatan kes tersebut sudah dijangka kerana terdapat banyak pergerakan populasi sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, jika bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad meningkat dalam masa terdekat ini, penggunaan katil di wad biasa dan ICU masih tidak terbeban.
"Pihak JKN Perak akan terus memantau situasi semasa, khususnya kemasukan pesakit ke hospital, bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat terus memenuhi keperluan pesakit Covid-19 dengan optimum.
"Selain itu, JKN Perak sentiasa memastikan agar langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.