BACHOK - Kemahiran menghidu peluang dan berfikir secara kreatif penting kepada penuntut yang mahu bergelar sebagai usahawan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kejayaan tidak datang dengan muda dan penuntut mesti membuat perancangan dalam usaha mencapainya.
"Semangat untuk sentiasa berada di depan merupakan kriteria bakal usahawan. Jadilah orang pertama yang mencipta peluang, bijak menambah nilai atas satu-satu perkara.
"Semua itu memerlukan ilmu sebagaimana ditekankan agama menerusi surah Iqra' (al-'Alaq), surah pertama al Quran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Unipreneur Fest di UMK Bachok di sini, semalam.
Menurutnya, UMK amat kondusif untuk melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang ekonomi.
"Kena bersungguh-sungguh selepas kita mendapat latihan di universiti dan dalam era digital ini, kita perlu memanfaatkannya untuk melebarkan perniagaan.
"Karnival Etak Salai yang dijayakan UMK baru-baru ini adalah contoh pemikiran kreatif sehingga mampu menarik perhatian rakyat Malaysia," katanya.