PARIS - Seorang wartawan video agensi berita Perancis Agence France-Presse (AFP) terbunuh pada petang Selasa berhampiran bandar Bakhmut, timur Ukraine, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Arman Soldin, 32, maut dalam serangan roket ketika membuat liputan perang bersama askar Ukraine, umum AFP pada Selasa.
Agensi berita itu berkata bahawa empat lagi wartawan AFP ada bersama Soldin ketika kejadian namun tidak mengalami kecederaan.
"Ingatan kami semua bersama keluarga dan orang tersayang mendiang," ciap AFP di Twitter.
Bakhmut menjadi lokasi pertempuran sengit antara askar Rusia dan tentera Ukraine selama berbulan-bulan. Bandar pernah dihuni kira-kira 70,000 orang itu kini hampir musnah sepenuhnya sejak pencerobohan Rusia.
Menurut Reporters Without Borders, enam wartawan terbunuh di Ukraine tahun lepas. Soldin adalah wartawan kedua yang meninggal dunia tahun ini ketika membuat liputan perang di Ukraine.
Dilahirkan di Sarajevo, Soldin ialah warga Perancis, kata AFP. - Bernama