Farid Ali lepas, bebas tuduhan tuntutan palsu pembekalan minyak masak

Iklan
Mohd Farid (kanan) menerusi kenyataan merakam kesyukuran selepas hakim memberikan perintah dibebaskan dan dilepaskan sebelum perbicaraan kes dimulakan.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu melepas dan membebaskan pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali atas tuduhan kes tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang dihadapinya pada 2020.

Mohd Farid menerusi kenyataan merakamkan kesyukuran selepas hakim memberikan perintah dibebaskan dan dilepaskan (Discharge Amounting to Acquittal (DAA) sebelum perbicaraan kes itu dimulakan.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya pada 20 Jun 2022 hasil daripada justifikasi dan penerangan di dalam representasi yang dikemukakan oleh pihak saya, maka pihak pendakwa raya telah menarik balik kesemua pendakwaan ke atas saya dan susulan daripada itu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memberikan perintah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ kepada saya pada tarikh tersebut.

"Di mana segala wang jaminan dan pasport antarabangsa saya juga diperintahkan untuk dilepaskan dan dikembalikan berkuat kuasa pada 20 Jun itu.

Iklan

"Susulan daripada itu, saya melalui peguam Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos (dari Jahaberdeen & Co. ) telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Mac 2023 untuk meminda keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada dilepaskan dan dibebaskan," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, pada sesi pengurusan kes pada 14 April 2023, pihak pendakwaan memaklumkan mereka tiada bantahan kepada permohonannya itu.

Iklan

"Justifikasi terhadap permohonan ini adalah kerana kesemua pendakwaan ke atas saya telah ditarik balik pada 20 Jun tahun lalu dan segala dokumen dan telefon bimbit juga telah dikembalikan oleh pihak SPRM sejak dari tahun lepas lagi.

"Susulan daripada itu, Yang Mulia Hakim pada hari ini 10 Mei 2023 telah memberikan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’ kepada saya," katanya.

Ujar Mohd Farid, berkat kesabaran dan mengambil konsep mempertahankan maruah diri akhirnya kebenaran terbukti dengan perintah dilepaskan dan dibebaskan yang diberikan oleh hakim pada hari ini dan lebih-lebih lagi kerana perintah itu diberikan sebelum perbicaraan kes dimulakan.

"Syarikat saya, Alfa Consortium Berhad pada masa ini adalah pembekal utama minyak masak bersubsidi untuk asnaf di seluruh Selangor. Syarikat membekalkan terus kepada kesemua sembilan daerah di Selangor kepada anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf negeri Selangor.

"Saya mengambil jalan yang lebih berkat dengan menjadi pembekal utama minyak masak bersubsidi kepada asnaf Selangor walaupun keuntungannya adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan pembekalan kepada pemborong-pemborang lain. Ternyata ia lebih berkat kerana ALLAH memberi rezeki di dalam bentuk perniagaan lain kepada saya," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang menyokong dan memberikan semangat kepadanya untuk menempuh waktu yang sangat mencabar itu.

"Episod ini mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih istiqamah dan sememangnya apa yang lebih penting adalah kerja-kerja kebajikan untuk kebaikan ummah secara amnya," katanya.