Bekalan ayam di Selangor dijangka susut 600,000 ekor setahun

Iklan
Muzamri Shoib (depan tengah) bersama wakil persatuan pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Rabu.

KUALA SELANGOR - Persatuan Penternakan Ayam di Selangor meramalkan negara berdepan penyusutan bekalan ayam sekurang-kurangnya 600,000 ekor dalam tempoh setahun jika kerajaan tidak serius membela nasib penternak.

Pengerusi Persatuan Penternakan Ayam di Selangor, Muzamri Shoib berkata, keadaan itu akan menyebabkan ramai penternak terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos operasi yang tinggi ketika ini.

Iklan
Iklan

"Baru-baru ini sekurang-kurangnya tiga penternak di Selangor dan lebih 20 penternak di Pahang didakwa terpaksa tutup perniagaan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama persatuan-persatuan penternak ayam pada Rabu.

Muzamri berkata, penternak semakin tertekan dengan keputusan kerajaan ‘memenangkan’ orang tengah apabila mengagihkan subsidi 80 sen bagi setiap kilogram ayam sebanyak 87.25 peratus kepada mereka berbanding 12.5 peratus kepada penternak.

Iklan

"Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kos ternak RM6.40 bagi sekilogram ayam, namun harga dijual di ladang pula RM5.70 sekilogram," ujarnya

Jelas beliau, kerajaan mengagihkan subsidi 60 sen sekilogram secara sama rata iaitu 30 sen kepada penternak dan 30 sen kepada syarikat sejak subsidi itu diperkenalkan pada Februari tahun lalu.

Iklan

"Jumlah sama juga diberikan sehingga Ogos tahun lalu apabila subsidi RM1.40 dan RM1.20 diberikan.

"Namun, apabila subsidi 80 sen diberikan sejak September tahun lalu, penternak hanya menerima 10 sen sekilogram sementara integrator (syarikat pembekal) pula mendapat 70 sen sekilogram sampai sekarang," jelasnya.

Malah Muzamri memberitahu, perubahan tersebut tidak dibincangkan dalam kalangan penternak ayam seperti dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penternak Haiwan Johor Utara, Lim Leong Tuan memaklumkan, penternak menanggung lebih banyak risiko berbanding syarikat pembekal dalam usaha memastikan bekalan ayam berterusan di pasaran.

"Penternak berdepan dengan masalah seperti ayam terkena jangkitan penyakit sehingga menyebabkan kematian, selain bencana banjir.

"Selain itu, masalah ayam tak berkualiti, anak ayam kurang pun kami tanggung," jelas beliau.

Pengerusi Persatuan Penternak Melayu Pahang, Jamaludin Abd Ghani menggesa kerajaan mengagihkan subsidi kepada penternak secara adil seperti mana diperoleh syarikat pembekal.

"Kami memohon pengagihan ini secara adil supaya tidak lagi ramai penternak gulung tikar," luahnya.