STATUS Rafael Leao untuk perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, AC Milan menentang jiran tetangga Inter Milan di Stadium San Siro awal pagi Khamis masih menjadi rahsia.
Itu makluman pengendali AC Milan, Stefano Pioli selepas pemain sayap Portugal tersebut mengalami kecederaan otot.
Leao antara pemain Milan yang paling berpengaruh musim ini dengan 13 gol dan 10 bantuan gol dalam semua pertandingan, namun hanya bertahan 12 minit ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Lazio pada Sabtu.
Pioli berkata, Leao sama ada akan memulakan permainan atau tidak bermain langsung, sambil menambah bahawa pemain sayap Belgium Alexis Saelemaekers adalah pengganti berpotensi untuk perlawanan Derbi Euro itu.
"Hari ini dia (Leao) berlatih, esok saya akan memutuskan apa yang perlu dilakukan pasukan.
"Saya akan tidur dengan tenang malam ini, lagipun pada waktu pagi Rafa dan doktor akan memberitahu keadaannya. Jika dia sihat dia akan dipanggil.
"Jika dia lulus ujian, dia boleh bermain. Jika tidak dia tidak boleh bermain - sama ada dari awal atau akhir. Saya lebih suka melakukannya hari ini, tetapi ia tidak mungkin," kata Pioli kepada pemberita, sambil menambah dia tidak tertekan dengan tahap kecergasan pemain berusia 23 tahun itu.
Milan yang disingkirkan sebagai juara Serie A minggu lalu oleh Napoli, mengharungi perlawanan yang sukar dalam liga dengan hanya tiga kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir untuk melonjak ke tangga kelima - dua mata di belakang Inter di tangga keempat.