Berehat sebentar politiking demi rakyat

Iklan
Tidak lama lagi, enam negeri akan mengadakan PRN masing-masing. - Gambar hiasan

DEWAN Undangan Negeri (DUN) enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu belum lagi dibubarkan tetapi suhu politik ketika ini sepanas cuaca panas dalam negara.

Tempoh berkempen belum lagi ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang sudah agresif memulakan kempen masing-masing.

Iklan
Iklan

Ada yang sudah mengadakan kempen secara bersemuka dengan melakukan siri jelajah bertemu rakyat dan tidak kurang juga menjadikan jamuan rumah terbuka sebagai medan untuk berkempen.

Di media sosial pula tidak henti-henti menyerang antara satu sama lain seolah-olah kempen pilihan raya adalah sepanjang tahun, 24 jam sehari.

Iklan

Sedangkan kita baru saja melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan kempen telah diadakan dengan cukup agresif.

Adalah amat memenatkan bagi rakyat bawahan melihat perkembangan semasa ketika ini kerana kesan daripada semua percakaran politik itu hanya menyebabkan rakyat makin tersepit.

Iklan

Sepatutnya pemimpin kerajaan dan pembangkang ketika ini perlu melakukan 'genjatan senjata' politik dan memikirkan cara untuk membantu rakyat mengharungi kehidupan yang cukup mencabar ketika ini.

Mereka sepatutnya duduk semeja, mengeluarkan buah fikiran dan kaedah pelaksanaan untuk melindungi rakyat daripada cabaran cuaca ekstrem, sekuriti makanan dan impak ekonomi pada masa kini dan masa depan.

Banyak lagi isu-isu tertangguh yang perlu diberi perhatian seperti masalah pendidikan rendah dan menengah, isu pengangguran, pendapatan isi rumah dan macam-macam isu lagi.

Masa yang dibuang dengan saling bercakaran itu sewajarnya dihabiskan untuk bekerja membantu rakyat yang sebenarnya sudah cukup terkesan dengan impak badai pandemik sebelum ini.

Wahai semua pemimpin negara sama ada yang berada di kerusi kerajaan dan pembangkang, ubahlah mentaliti anda semua untuk berfikir dan bergerak dengan lebih matang untuk menjadikan rakyat sebagai agenda utama.

Bekerjalah dengan lebih kuat dan bersungguh-sungguh untuk menebalkan poket rakyat dan bukannya memperkayakan diri sendiri dan kroni.

Ketepikan segala permusuhan buat seketika kerana cabaran dan dugaan yang menanti kita di hadapan lebih besar.