SHAH ALAM - Malaysia perlu segera mewujudkan inisiatif khas termasuk skim pekerjaan warga dan institusi penjagaan mampu milik untuk warga emas sebagai persediaan mengatasi isu 'kemiskinan warga emas' melibatkan tujuh juta pekerja terdiri daripada kumpulan yang tidak mempunyai tabungan hari tua, sama ada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun pencen.
Pensyarah (Gender, Kemiskinan dan Kerentanan), Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Zumilah Zainalaludin berkata, sekiranya langkah itu tidak dilaksanakan serta-merta, dikhuatiri negara akan berdepan 'tsunami' warga emas yang terpaksa hidup melarat dan menyukarkan lagi pada masa akan datang.
Sedangkan, katanya, majoriti golongan ini masih boleh menyumbang sebagai tenaga kerja untuk menjana pendapatan selepas bersara namun peluang yang ada buat mereka amat terhad.
"Namun kita bercakap tentang skim khas untuk mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas tanpa mengganggu peluang pekerjaan orang muda. Kita belum ada lagi skim seperti itu contohnya skim bekerja lima jam atau tiga hari seminggu bagi mereka yang mampu bekerja.
"Berdasarkan data, masih ramai warga emas yang mampu bekerja, 95 peratus yang boleh bekerja. Jadi kerajaan sepatutnya sudah mulakan sekarang sebelum kita menjadi negara tua pada 2030.
"Rangka pelan itu dengan baik, wujudkan skim tersebut dan beri insentif kepada syarikat-syarikat terlibat. Sama juga dengan syarikat-syarikat yang mengambil kumpulan rentan lain untuk bekerja seperti orang kurang upaya, ibu tunggal, begitu juga warga emas," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa berhubung pendedahan seramai tujuh juta rakyat Malaysia bakal menua tanpa mempunyai KWSP dan pencen.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, hanya 56 peratus mendapat perlindungan tersebut dan kadar itu lebih rendah berbanding purata global yang berada pada tahap 68 peratus.
Majoriti tenaga buruh yang tidak dilindungi itu adalah pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan golongan bekerja sendiri.
Mengulas lanjut, Zumilah berkata, kerajaan juga boleh memperkenalkan skim khas geran perusahaan mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk golongan warga emas ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Dengan adanya insentif ini, mereka boleh menjana pendapatan dengan perniagaan,'' ujarnya.