Lelaki ditahan seleweng diesel di stesen minyak

Iklan
Dua unit tangki fiber yang berisi minyak diesel ditemui dalam van terbabit.

ALOR SETAR - Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan disyaki menyeleweng minyak diesel di salah sebuah stesen minyak di Jalan Pegawai, di sini pada Rabu.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bermula dari jam 4 petang berdasarkan maklumat risikan dan aduan orang awam.

Iklan
Iklan

Katanya, lelaki terbabit yang memandu sebuah van jenis Toyota ditahan pada jam 10 malam ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut menemui dua unit tangki fiber yang berisi minyak diesel dalam van terbabit," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan itu.

"Beberapa dokumen berkaitan turut disita dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM6,000," katanya.

Iklan

Affendi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan.

"Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan dan seterusnya menafikan hak masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi ini," katanya.