SHAH ALAM - Musuh tidak senang dengan kedudukan UMNO sekarang dan terus cuba membina propaganda negatif bagi menanamkan benci serta prejudis kepada parti tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, musuh tersebut terus ghairah menanamkan perasaan melampau itu dalam pemikiran rakyat terutamanya anak muda yang baru sahaja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.
Jelasnya, permainan persepsi itu diasak sepanjang masa sehingga membentuk satu realiti yang berbahaya dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.
Menurut beliau, politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik dan iltizam bagi meletakkan negara pada landasan ekonomi kukuh telah digantikan dengan kebencian serta dendam kesumat.
"Semuanya dihidangkan sebagai ‘soundbyte buffet’ yang mudah dihadam dan diterima dan berlegar di domain digital sehingga ke hari ini.
"Daripada usaha memajukan masyarakat mendepani cabaran abad ke-21, sebaliknya ini telah menganjakkan masyarakat kita jauh ke belakang. Kita telah kembali kepada budaya politik lapuk dan ketinggalan zaman.
"Dan yang menerima kesan terburuk adalah anak-anak muda kita sendiri. Bayangkan pelapis-pelapis negara kita memulakan perjalanan politik mereka melalui lensa perkauman dan propaganda kebencian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya bersempena Ulang Tahun ke-77 UMNO pada Khamis.
Ahmad Zahid yakin bahawa musuh tersebut sedar akan kesan buruk propaganda itu namun memilih untuk memejamkan mata dan membiarkan anak muda terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara.
Justeru itu, katanya, bersempena ulang tahun UMNO yang ke-77, parti akan menunjukkan jalan teladan dalam menjayakan politik baru yang lebih matang dan bermakna.
"Ingat, parti bersejarah ini bermula sebagai gerakan amal bakti dan bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga atau kelab eksklusif,” ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO tidak akan sesekali lelah dalam menawarkan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat Malaysia.
"Daripada usaha meningkatkan taraf ekonomi, pembasmian kemiskinan tegar, sehingga kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif dan paling pesat membangun,” katanya lagi.
Tambahnya, UMNO akan menawarkan wawasan ke arah kesederhanaan, kesaksamaan, keadilan, kebebasan, pertumbuhan ekonomi melalui satu set dasar yang wajar dan boleh dicapai dari pelbagai latar belakang etnik serta agama.
Menurut beliau, parti itu akan terus menawarkan rakyat Malaysia pelan jangka panjang yang akan mengubah kehidupan rakyat ke arah lebih baik dan memenuhi keperluan abad ke-21.
"UMNO memahami dan mewakili realiti semasa dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala tuntutannya, termasuk memperkasa agenda Melayu dalam konteks Malaysia yang semakin moden.
"PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) mengajar kita bahawa demokrasi bukanlah satu anugerah. Demokrasi adalah hak rakyat.
"Sempadan ruang demokrasi bukan ditentukan oleh pemerintah. Demokrasi hanya akan diperolehi melalui perjuangan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, ulang tahun UMNO ke-77 merupakan tanda kematangan UMNO menempuh suka duka, pahit manis yang lebih mematangkan parti itu untuk pulih, bangkit dan bergerak ke depan.
"Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-77 dengan muhasabah diri, kesyukuran dan keinsafan untuk membina masa depan UMNO lebih gemilang.
"Di depan api, di belakang duri, UMNO tidak pernah gentar mengharungi cabaran dan masa depan. Sebaliknya inilah membentuk kematangan baru dan dinamika UMNO masa kini,” ujarnya.