Indeks Keganasan Global Malaysia lebih baik - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Indeks Keganasan Global (GTI) Malaysia pada tahun lalu berada di prestasi lebih baik apabila negara berada di kedudukan ke-75 berbanding tangga ke-68 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penurunan tersebut menunjukkan usaha negara dalam menangani keganasan.

Iklan
Iklan

"Ini tidak harus memperlihatkan kita terus selesa," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) kali pertama di sini pada Khamis.

Menurutnya, berdasarkan statistik tahap keganasan dan tangkapan tertinggi dilakukan pada 2016 di mana 126 disyaki pengganas telah diberkas.

Iklan

Beliau berkata, angka itu kemudiannya menurun kepada 107 pada 2017 selepas beberapa tindakan pencegahan dan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa langkah diambil Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahmad Zahid berkata, perbezaan fahaman politik, soal ketaksuban agama dan isu perkauman yang tebal serta masalah psikologi, rumah tangga seumpamanya merupakan punca sesuatu keganasan berlaku.

Iklan

"Daripada hasil kajian, keganasan disebabkan agama bukan dilakukan oleh agamawan sebaliknya dilakukan oleh individu yang tidak ada latar belakang agama tetapi mahu mencari jalan singkat untuk masuk ke syurga," katanya.

Ujar beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan merangka satu usaha pencegahan di dalam kurikulum semua peringkat pendidikan.

"Kita juga mengambil beberapa tindakan pencegahan dan menangani fahaman pelampau keganasan.

"Ini lebih berbentuk kepada perbezaan politik dan menggunakan isu-isu politik, umpamanya Islam terancam yang dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada mereka yang tidak memahami isu sebenar," ujar Ahmad Zahid.

Berhubung dakwaan kononnya media sosial menjadi medium merekrut pelampau, beliau berkata, pemantauan sedang dilakukan oleh MKN dan Cawangan Khas (D8) PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).