BEIJING - Pertumbuhan pasaran perjalanan keluar China dijangka kekal kukuh pada tahun ini apabila permintaan mencetuskan ledakan pelancongan dan lebih ramai pengembara menuju ke luar negara pada musim panas ini, lapor Xinhua Khamis, memetik China Daily.
Memetik laporan oleh syarikat Mastercard, pelancong yang melancong ke luar negara sanggup berbelanja lebih dan tinggal lebih lama di luar negara selepas China mengoptimumkan tindak balas wabaknya lewat tahun lalu.
Iklan
Iklan
Berbanding dengan tempoh antara Januari 2019 dan Mac 2020, purata masa perjalanan meningkat daripada sembilan kepada 11 hari dan keseluruhan belanjawan per kapita untuk perjalanan keluar telah menokok daripada 34,300 yuan (kira-kira AS$4,964) kepada 39,800 yuan, peningkatan sebanyak 16 peratus.
Laporan itu juga mendapati, pengembara berpendapatan tinggi yang kerap melakukan perjalanan ke luar negara sebelum wabak Covid-19 tidak keberatan untuk melancong ke luar negara lagi.
"Pelancong China yang sudah tiga tahun tidak melancong ke luar negara tidak sabar untuk keluar semula.
"Apabila mereka melancong ke luar negara sekali lagi, tingkah laku penggunaan mereka telah berubah dengan ketara. Mereka meneroka cara dan trend baharu mengembara di peringkat global," kata Dennis Chang merangkap Presiden Mastercard (bahagian China). - Bernama-Xinhua