GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berharap akan dipanggil untuk turut serta dalam mesyuarat antara kementerian terlibat agar pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) dapat disegerakan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberikan laporan terkini tentang cadangan projek tersebut iaitu kerja-kerja yang telah dicapai sehingga kini kepada kerajaan Pusat.
Oleh demikian, menurutnya, kerajaan Pusat dapat mengambil maklum apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan negeri bersama SRS Konsortium berhubung cadangan projek LRT yang menghubungkan Bayan Lepas ke pusat bandar (Komtar).
"Kita berharap kerajaan Pulau Pinang dipanggil untuk turut serta dalam mesyuarat dengan kementerian terlibat antaranya Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mengenai apa yang telah kita capai setakat ini.
"Kita serahkan kepada kerajaan Pusat untuk memuktamadkan perkara ini dan difahamkan mesyuarat antara kementerian terlibat sudah diadakan, kita juga menunggu untuk dipanggil ke mesyuarat itu. Kerajaan negeri berharap kita juga dilibatkan dalam perbincangan teknikal supaya kita dapat membentangkan laporan yang kita ada.
"Ini kerana, kita sudah mencapai ke peringkat Request For Proposal (RFP) untuk pembinaan. Selain itu, kerajaan negeri juga sudah melalui beberapa tahun perancangan untuk projek ini dan sekarang sudah bersedia untuk proses tender," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh meminta supaya Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) dikaji semula dan diperkecilkan skop tambakannya.
Sebagai alternatif, kerajaan Pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana yang besar dan mencukupi kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT.
Dalam pada itu, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu memohon Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek PSI yang telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April lalu.
"Kelulusan itu meliputi ketiga-ketiga pulau seluas 1,821 hektar. Oleh itu, kita tidak perlu lagi untuk memohon EIA baharu bagi meneruskan projek ini.
"Selain itu, pengecilan saiz tambakan laut juga tidak akan memberi sebarang impak kepada kerajaan negeri dari sudut bayaran pampasan atau ganti rugi kepada pihak pelaksana projek, SRS Konsortium Sdn Bhd kerana perjanjian pelaksanaan projek dibuat secara berasingan bagi ketiga-tiga projek tambakan laut," katanya.
Sebelum ini, berdasarkan rancangan asal, projek tambakan itu akan melibatkan keluasan hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,821 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas bertujuan mencari dana bagi menjalankan projek LRT.
Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.