SHAH ALAM - Pendedahan EMIR Research berhubung Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM4.5 trilion akibat rasuah sepanjang tempoh 26 tahun menunjukkan gejala itu cukup membarah di negara ini.
Susulan itu, Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib menyeru komitmen bersama bagi menoktahkan gejala itu daripada terus membawa kerosakan terhadap Malaysia.
"Jika kita tidak bangkit menolak rasuah maka bila lagi. Cukuplah angka trilion itu menjadi isyarat yang jelas bahawa gelaja rasuah harus ditamatkan. Kebersamaan kita dituntut bagi memerangi gejala buruk itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Emir Research pada Khamis, akibat daripada gejala rasuah ini menyebabkan negara kita terdedah dengan neokolonisasi dan eksploitasi dan berpotensi besar kehilangan kelebihan daya saing di peringkat global.
Ini mengurangkan keyakinan pelaburan tempatan dan asing, terutamanya yang boleh mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan aktiviti ekonomi manakala pelaburan asing yang bersifat eksploitasi akan kekal berkembang dengan rasuah di tahap yang tinggi.
Menerusi perubahan mundur dalam keutamaan perbelanjaan, rasuah menjejaskan keupayaan negara untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
Dalam pada itu, Hamdan mencadangkan supaya undang-undang serta hukuman berkaitan rasuah untuk segera diperketatkan.
"Mungkin sudah tiba masanya undang-undang dan hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap perosak negara kita ini.
"Sebat dan hukuman yang 'berlipat ganda' perlu dikenakan, ini bagi memberi amaran kepada mereka bahawa jangan sesekali terlibat dengan gejala buruk ini," tegasnya.
Sementara itu menurut Hamdan lagi, pihaknya juga akan terus menyemarakkan kempen antirasuah dalam memberi kesedaran kepada rakyat.
"Kami akan terus 'menghidupkan' perasaan benci terhadap rasuah, kita akan turun ke bawah dalam mengajak masyarakat bersama menolak perbuatan jijik rasuah," katanya.