JOHOR BAHRU - Laporan penuh berhubung seorang ibu yang mendakwa anaknya didenda berdiri di tengah panas kerana datang lambat ke sekolah agama dijangka diperoleh awal minggu hadapan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, siasatan sudah dimulakan sejak Rabu selepas video berkenaan tular di aplikasi Tiktok.
"Laporan awal siasatan, saya terima semalam, tetapi saya minta mereka semak semula.
"Di peringkat awal, ia masih lagi disiasat dan sekiranya ada kelemahan yang berlaku kita akan pastikan ia tidak berulang.
"Saya beranggapan ada sedikit kelemahan komunikasi, namun laporan yang lengkap akan dibentangkan nanti," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Arena Larkin di sini, pada Khamis.
Mohd Fared berkata, berdasarkan maklumat awal diperoleh daripada pihak sekolah, kejadian yang berlaku (berdiri di tengah panas) itu tidak membawa maksud denda atau sebarang hukuman.
"Saya difahamkan ketika itu, murid berkenaan baharu tiba ke sekolah dan ketika itu guru sedang mengambil kedatangan di luar bilik darjah memandangkan ada bilik darjah yang mengalami gangguan bekalan elektrik," katanya.
Pada masa sama, Mohd Fared memohon maaf atas kejadian yang berlaku sehingga mendatangkan kerisauan pihak ibu bapa.
"Walaupun tiada kelemahan yang jelas, tetapi saya minta maaf jika ada ibu bapa tidak selesa dengan keadaan ini dan saya berikan komitmen bahawa semua keadaan akan ditambah baik
"Saya berterima kasih kepada semua pihak, sama ada ibu bapa atau orang ramai yang memaklumkan perkara sebegini kepada saya. Apa pun aduan dan laporan diberikan, saya ambil sebagai saranan yang sangat baik," katanya.
Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok, seorang ibu mendakwa anaknya berusia tujuh tahun dijemur di bawah terik matahari dipercayai berlaku di sebuah sekolah agama di Pasir Gudang.
Wanita berkenaan mendakwa anaknya didenda kerana datang lambat ke sekolah dan kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang.