BATU PAHAT – Tahap kesedaran dalam kalangan pekerja dan waris berkenaan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih rendah menyebabkan pencarum atau waris tidak membuat tuntutan selepas berlaku kemalangan atau kematian.
ADUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, Perkeso merupakan sebuah organisasi yang membawa begitu banyak manfaat kepada pekerja kerana mempunyai pelbagai faedah seperti Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.
"Kebaikan Perkeso yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya akan menyebabkan kerugian kepada pencarum atau waris mereka yang mungkin memerlukan bantuan tersebut dan saya berharap Perkeso agar lebih banyak program kesedaran dapat dibuat.
"Seperti program hari ini (semalam), Perkeso dapat mendekati pemimpin masyarakat dan memberi pendedahan kepada mereka apa yang harus dilakukan sekiranya berdepan dengan situasi yang melibatkan tuntutan-tuntutan dengan Perkeso,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat DUN Semerah di Kompleks Penghulu Mukim 1 Lubok, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengurus Perkeso Batu Pahat, Suhara Mustaffa dan Penghulu Mukim 1 Lubok, Wahab Rahim.
Menurutnya, pemimpin masyarakat seperti ketua kampung yang dianggap ‘duta kecil’ Perkeso juga tidak seharusnya menunggu aduan untuk bertindak, sebaliknya mengambil tahu mengenai perkembangan anak buah melalui pendekatan turun padang.
Katanya, majikan tempat kerja lebih bertanggungjawab kepada perkara-perkara berkaitan kemalangan di tempat kerja dan pemimpin masyarakat boleh membantu berkaitan pencen ilat yang merangkumi pencen penakat.
"Ini kerana ada di antara mereka yang layak menerima pembayaran tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan permasalahan mereka dan saya berharap objektif program ini untuk membantu mereka yang memerlukan dapat disampaikan.
"Jika pencarum meninggal dunia mereka, waris akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta pencen penakat dan sekiranya tidak boleh bekerja atau menghidap pennyakit kronik, pencarum akan menerima pencen ilat,” katanya.
Sementara itu, Suhara berkata, kerjasama dari pemimpin masyarakat amat diperlukan bagi mengenal pasti pekerja yang ditimpa musibah seperti menghidap penyakit kronik dan kematian dan seterusnya membantu menghubungi Perkeso bagi mendapatkan bantuan sewajarnya berdasarkan kelayakan.
Katanya, sebelum ini pejabatnya juga sering dikunjungi oleh masyarakat setempat untuk mengaju pertanyaan, mengadu masalah dan memohon bantuan dan beliau yakin dengan wujudnya hubungan baik di antara pemimpin masyarakat dan Perkeso, sesuatu kes dapat disalurkan dengan betul dan membantu mempercepatkan kes diselesaikan.