PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MS) berteka teki berhubung ganjaran yang bakal menanti atlet terjun negara susulan prestasi cemerlang membawa pulang empat pingat emas berbanding tiga seperti disasarkan pada Sukan SEA 2023 di sini.
Presiden MS, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang gembira dengan pencapaian barisan terjun yang rata-ratanya dibarisi atlet pelapis di sini berkata, beliau akan berbincang bersama pengurusan MS terlebih dahulu sebelum membuat keputusan itu.
"Insya-Allah akan bincang (ganjaran) dan akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara kalungan pingat bagi acara platform lelaki, di Pusat Akuatik Morodok Techo, di sini, hari ini.
Shahidan sebelum itu menyaksikan acara yang dimenangi penerjun negara, Enrique Maccartney Harold dengan mengumpul 442.95 mata selepas enam pusingan bagi menghadiahkan emas keempat negara dalam sukan terjun.
Lebih manis, Malaysia turut memenangi perak menerusi Bertrand Rhodict Lises dengan 384.00 mata manakala gangsa milik penerjun Singapura, Max Lee Shen Oon yang mengutip 362.8 mata.
Terjunan emas Enrique hari ini menyaksikan Malaysia menyapu bersih kesemua empat pingat emas ditawarkan pada temasya sukan dwitahunan di Kemboja kali ini.
Isnin lepas, Kimberly Bong merangkul emas pertama negara bagi acara 3m papan anjal wanita dan momentum tersebut diteruskan Muhammad Syafiq Puteh yang menyumbang emas kedua negara selepas menjuarai acara 3m papan anjal lelaki, keesokan harinya.
Semalam, penerjun berusia 15 tahun, Lee Yiat Qing melakar kejutan apabila merangkul emas acara platform wanita walaupun membuat penampilan pertama di Sukan SEA. - Bernama