TDM perkenal logo baharu selepas 17 tahun

Iklan
Ahmad Samsuri (tengah) disamping Yahaya (kiri) dan Najman (kanan) ketika menyempurnakan majlis pelancaran logo baharu dan perasmian Wisma TDM di Jalan Kamaruddin, di Kuala Terengganu pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad memperkenalkan logo baharu melalui penjenamaan semula dan perasmian bangunan baharu, Wisma TDM pada Khamis.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, penjenamaan TDM bertujuan meningkatkan taraf dan mengukuhkan lagi jenamanya sekali gus membuktikan keterbukaan TDM dalam mengadaptasi corak perubahan semasa selepas 17 tahun menggunakan logo lama.

Iklan
Iklan

Jelasnya, logo baharu TDM yang menggunakan warna biru firus atau turquoise menampilkan elemen-elemen yang boleh ditemui di Terengganu.

"Begitu juga dengan huruf 'M' yang melambangkan bentuk jambatan angkat Terengganu yang merupakan yang pertama di Asia Tenggara dan menjadikannya mercu tanda ikonik dan kebanggaan masyarakat Terengganu.

Iklan

"Selain itu, garis panjang menghubungkan 'T' dan 'D' yang kelihatan seperti kursif juga diadaptasi dari penulisan Jawi dan pada waktu yang sama memberikan sentuhan ‘batik’ yang dilukis menggunakan garisan," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran logo baharu, di sini pada Khamis.

Majlis pelancaran logo dan perasmian bangunan baharu TDM itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali.

Iklan

Najman berkata, langkah penjenamaan semula TDM bukan satu langkah yang mudah namun mereka tampil dengan yakin dan berani dengan perubahan itu.

"Seiring dengan usia syarikat yang kini hampir mencecah enam dekad dan corak perniagaan kami yang mula berubah dengan segala penambahbaikan, penjenamaan semula ini menjadi lambang kepada perkembangan dan kematangan kami sebagai sebuah syarikat.

"Penjenamaan semula ini juga memberi gambaran jenama TDM yang baharu secara dalaman dan juga luaran seiring dengan strategi perniagaan yang kini lebih tertumpu kepada pertumbuhan yang lestari dan budaya berintegriti tinggi," katanya.

TDM yang mula ditubuhkan pada 1965 merupakan salah satu sekuriti Patuh Syariah yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia dengan perniagaan teras dalam perladangan kelapa sawit dan penjagaan kesihatan.