'Ini jelas satu pembunuhan karakter' - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal - Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan tugas secara profesional agar rakyat tidak melihat entiti tersebut seolah-olah dipergunakan oleh pihak lain bagi tujuan tertentu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan SPRM yang seolah-olah sengaja menamakan bekas Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap beberapa pertuduhan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan dilihat menjatuhkan imej Ketua Pembangkang itu.

Iklan
Iklan

"Pertuduhan-pertuduhan tersebut dikenakan terhadap individu lain namun dengan sengaja menyasarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bertujuan memalukan dan menjatuhkan imej serta kredibiliti beliau di mata awam.

"Ini jelas satu pembunuhan karakter (character assassination) dibuat bagi mempengaruhi sokongan rakyat semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN) terutamanya menjelang pilihan raya enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Iklan

Pada 10 Mei, bekas Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin hairan apabila dikaitkan dalam kes rasuah membabitkan projek-projek di bawah KDN walaupun tiada langsung pembabitannya.

Ia susulan tindakan SPRM telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap seorang individu bernama Datuk Seri Sim Choo Thiam.

Iklan

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, campur tangan kerajaan seolah-olah dilihat ingin mengambil alih perhatian daripada rakyat daripada isu semasa.

"Tindak tanduk SPRM sejak kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mengambil alih pentadbiran negara telah dikritik hebat termasuklah cara badan tersebut mengendalikan isu Hakim Nazlan yang telah mencemar nama institusi badan kehakiman negara,” katanya.