BRASILIA - Sepasang suami isteri di Brazil mendakwa kecuaian doktor telah menyebabkan kepala bayi perempuan mereka terputus dari badannya semasa dilahirkan pada 1 Mei.
Menurut laporan New York Post, usia kandungan si ibu, Ranielly Coelho Santos, 34, masuk minggu ke-28 apabila dia dibawa ke Hospital das Clinicas da UFMG di Belo Horizonte pada hujung April akibat tekanan darah tinggi.
Proses kelahiran bayi terpaksa dipercepatkan pada 1 Mei dan kejadian ngeri di dewan bedah itu disaksikan sendiri suaminya, Victor da Silva.
Menurut da Silva, ketika kejadian, doktor berkenaan memberi tekanan pada perut isterinya untuk mengeluarkan bayi dengan cepat.
Sejurus sebelum insiden tragik itu, si bapa mendakwa melihat bayinya menggerakkan mata dan mulut.
Namun tindakan doktor berkenaan yang didakwanya"memanjat perut dan menarik kepala bayinya" telah menyebabkan kepala anak perempuannya itu tercabut.
Keluarga mangsa turut mendakwa pihak hospital cuba memaksa mereka menandatangani dokumen untuk menutup kejadian malang itu.
Difahamkan doktor terlibat kini disiasat susulan laporan yang dibuat ibu mangsa.