Kemarau 18 tahun emas badminton berpasukan berpanjangan

Iklan
Pemain negara bersama pingat perak yang dimenangi selepas tewas kepada Indonesia pada perlawanan akhir berpasukan lelaki Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Badminton Morodok Techo pada Khamis.

SKUAD badminton negara sekali lagi gagal membawa pulang emas selepas tewas 1-3 kepada musuh ketat, Indonesia dan terpaksa akur dengan pingat perak dalam pusingan akhir berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh pada Khamis.

Malaysia mendahului melalui pemain perseorangan utama negara Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-64 dunia apabila hanya mengambil masa 31 minit untuk menewaskan pemain nombor 19 dunia Chico Aura Dwi Wardoyo, 21-16, 21-13 pada acara yang diadakan di Dewan Badminton Morodok Techo.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kekalahan pada perlawaan pembukaan tidak mematahkan semangat pemain Indonesia yang lain untuk bangkit kembali pada tiga pelawanan seterusnya.

Juara beregu lelaki Seluruh England 2022, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana memberi inspirasi kepada kebangkitan Indonesia apabila berjaya mengatasi beregu utama negara Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe, 21-12, 22-20, menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Iklan

Christian Adinata kemudian meletakkan Indonesia di depan buat kali pertama dalam perlawanan itu apabila mengetepikan pemain perseorangan kedua Malaysia Lee Shun Yang 21-17, 21-9.

Walaupun menang set pertama daripada empat perlawanan, 21-13, beregu lelaki kedua negara Chia Weijie-Liew Xun kemudian tumbang pada dua set terakhir menentang Pramudya Kusumuwardana-Yeremia Erich Yoche Rambitan, 16-21, 16-21, setelah pasangan Indonesia berkenaan meraih mata pingat emas pada pertembungan selama 50 minit itu.

Iklan

Ketika pemain Indonesia meraikan pingat emas ke-18 mereka pada acara itu, gandingan Malaysia tunduk mengalah, memikirkan apa yang mereka perlu lakukan lagi untuk menamatkan kemarau 18 tahun.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Weijie mengakui mereka telah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan Malaysia dan mara ke set penentuan, namun tidak berjaya.

Katanya, Pramudya-Yeremia ternyata lebih baik terutamanya ketika menangani tekanan di gelanggang.

"Saya rasa mereka lebih berpengalaman daripada kami dan saya mengakui pihak lawan bermain lebih bagus daripada kami hari ini," katanya kepada pemberita.

Pada masa sama, Weijie bertekad untuk kembali dengan lebih kuat dan percaya dapat memberi saingan sengit menentang Pramudya-Yeremia jika mereka bertembung sekali lagi dalam acara perseorangan di sini. - Bernama