SKANDAL rasuah dalam kalangan penjawat awam di beberapa kementerian dilihat semakin membarah apabila Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussein Mohamed Ariff mendedahkan Malaysia kerugian sebanyak RM4.5 trilion sepanjang tempoh 26 tahun lalu akibat rasuah.
Dalam pada itu, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan meminta termasuk menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jun dan Julai tahun lalu.
Ia susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap seorang individu bernama Datuk Seri Sim Choo Thiam.
Pertuduhan tersebut ada menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah KDN semasa Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi menterinya.
Isu rasuah bukan perkara baharu, namun ia perlu segera dibendung bagi mengelakkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kredibiliti kerajaan dalam memimpin negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu lantang menyuarakan isu rasuah dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau jabatan kerajaan yang terpalit isu berkenaan agar segera disiasat.
Walaupun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat begitu giat membongkarkan gejala rasuah, tetapi pihak kerajaan sendiri perlu memulakan langkah proaktif yang lebih berkesan.
Selain itu, kerajaan juga digesa segera lakukan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 supaya dapat menjamin keselamatan bagi mereka yang melaporkan kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah agar bebas meneruskan kehidupan seperti biasa dan bukan dibelenggu rasa takut.
Tambahan pula, dengan pindaan akta tersebut akan membantu pihak SPRM membongkar gejala rasuah yang selama ini merosakkan negara dan mengharapkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berada dalam keadaan lebih baik.
Dalam pada itu, usaha berterusan perlu dilakukan dengan konsisten dan bukan bermusim sahaja supaya rakyat terus meletakkan kepercayaan kepada mana-mana kerajaan yang memerintah.
Rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja merosakkan masyarakat, tetapi juga merencatkan kestabilan politik negara dan sosial apabila sumber ekonomi tidak diagihkan secara adil.
Oleh itu, gejala rasuah perlu dihentikan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dan integriti kerajaan supaya menjamin kestabilan negara.