BEBERAPA hari lepas Merak Jalanan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri beberapa rakan di sekitar Lembah Klang. Maklumlah Syawal masih berbaki.
Ramai jugalah rakan-rakan yang sudah lama tak bertemu mata dan bertanya khabar kembali dipertemukan dalam satu majlis.
Seperti kebiasaan, perkara pertama diajukan adalah sudah berapa orang anak, kerja dekat mana dan tidak ketinggalan soalan nakal orang lelaki tentang berapa ramai isteri sekarang ini.
Ada seorang rakan Merak Jalanan bertanya seorang rakan lain mengenai pekerjaan isterinya. Dia menjawab isterinya seorang suri rumah tangga sepenuh masa.
Ketika itu ada yang mencelah bertanyakan bagaimana meneruskan kehidupan di Lembah Klang dengan hanya suami seorang sahaja yang bekerja.
Sebenarnya, pasangan yang menjadi suri rumah sepenuh masa telah menjimatkan pelbagai perbelanjaan suami mereka terutama soal makan, penjagaan anak dan pengangkutan setiap hari.
Hari ini ramai di luar sana memperlekeh tugas suri rumah seolah-olah mereka tidak memberikan sebarang sumbangan.
Hakikat sebenar adalah berapa ramai suri rumah mahu bekerja atau kembali ke dunia pekerjaan tetapi mereka ada sebab tertentu terutama rasa bertanggungjawab menjaga keluarga dengan cara tersendiri.
Seperti wanita yang masih bekerja, mungkin ada dalam kalangan mereka berharap satu hari nanti dapat menjadi suri rumah sepenuh masa.
Merak Jalanan pernah menjalankan tugas suri rumah dan sebenarnya ia tidak mudah serta lebih penat berbanding bekerja seharian di pejabat.
Ada waktu dan ketika 24 jam itu tidak cukup untuk menyelesaikan semua tugasan di rumah.
Justeru, kepada suami di luar sana hargai pengorbanan isteri kalian menjaga setiap keperluan keluarga.