Angkasa kekal kukuh sebagai gergasi Apeks gerakan koperasi

Iklan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan komitmen memacu pertumbuhan dan kemajuan gerakan koperasi agar sentiasa berinovasi dan relevan seiring dengan keperluan anggota dan rakyat.

Iklan
Iklan

Penawaran produk dan perkhidmatan yang sesuai dengan kehendak pasaran merupakan fokus utama bagi meningkatkan daya saing gerakan koperasi supaya sentiasa berperanan menjadi jentera berkesan membangunkan taraf hidup anggota, membantu meningkatkan kesaksamaan pengagihan ekonomi dan menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.

Presidennya yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pelbagai strategi telah diimplementasikan oleh Angkasa melalui penubuhan Lapan Sektor Pembangunan Perniagaan Koperasi, Program Pemerkasaan Koperasi (CEP), program peruncitan untuk mengurangkan beban kos sara hidup di bawah Projek Barang Asas 100 (BA100) dan digitalisasi perniagaan koperasi.

Iklan

Menurutnya, strategi yang dijalankan oleh Angkasa bersamasama koperasi membuktikan gerakan itu mampu untuk mendepani cabaran dan kekal teguh memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota dan masyarakat.

"Ini terbukti apabila perolehan gerakan koperasi kian memulih biarpun terkesan dengan sekatan pandemik Covid-19 yang bermula pada tahun 2019. Perolehan koperasi pada 2020 menguncup kepada RM41.45 bilion dan RM37.9 bilion pada 2021 berbanding RM45.8 bilion pada 2019.

Iklan

"Perolehan gerakan ini melonjak semula kepada RM45.5 bilion pada tahun 2022. Saya yakin, gerakan koperasi berupaya mencapai perolehan RM100 bilion pada 2030 seperti yang disasarkan oleh kerajaan menerusi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 sekiranya momentum ini dapat diteruskan,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

ABDUL FATTAH

Abdul Fattah berkata, bagi membantu koperasi untuk terlibat dengan perniagaan berimpak tinggi, Angkasa mewujudkan projek inkubasi melalui CEP.

"Buat masa ini, Angkasa sedang menumpukan kepada projek yang boleh membantu rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup termasuk meningkatkan ekonomi menerusi keusahawanan koperasi iaitu projek BA100 dan CoopFarmasi serta membantu menangani isu keterjaminan makanan menerusi projek ternakan lembu tenusu Heifer’s Park,” katanya.

Jelasnya, projek BA100 yang dijalankan secara dalam talian fokus kepada menawarkan harga barangan asas yang lebih murah kepada pengguna.

"Sehingga April 2023, sebanyak 2,568 koperasi terlibat dengan BA100. Saya mengajak lebih banyak koperasi menyertai BA100 untuk mendapatkan diskaun daripada pembekal seterusnya menawarkan harga menarik kepada pengguna,” katanya.

Menurut beliau, Angkasa juga menawarkan pakej umrah dan ziarah dengan harga kompetitif kepada anggota koperasi dan masyarakat menerusi CoopUmrah.

"Jika semuanya berjalan lancar CoopUmrah akan bertolak ke tanah suci bermula 19 hingga 29 Julai ini. Pakej ini masih dibuka dan warga koperasi serta orang ramai boleh menghubungi Angkasa sekiranya berminat,” kata Abdul Fattah.

Ujarnya, Angkasa menyarankan koperasi terutama yang baharu berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), menjadi ahli Angkasa bagi mendapatkan bimbingan dan meluaskan jaringan perniagaan demi manfaat bersama.

Beliau berkata, sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan gerakan koperasi itu sendiri merupakan kunci kepada kejayaan usaha yang dijalankan oleh Angkasa.

12 Mei 1971 merupakan tarikh penubuhan Angkasa sebagai badan Apeks gerakan koperasi negara yang mewakili sektor tersebut pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Hari ini genap 52 tahun Angkasa memainkan peranan sebagai gergasi gerakan koperasi dalam memperjuangkan hak dan kepentingan lebih tujuh juta anggotanya, meningkatkan keberdayaan perniagaan sekali gus memberi sumbangan kepada landskap ekonomi negara.