'Di mana ada UMNO, di situ Pejuang tiada' - Mukhriz

Iklan
Mukhriz (tengah) menunjukkan borang Proklamasi Orang Melayu yang ditandatangani pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga pada Khamis.

KUBANG PASU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan yang turut disertai UMNO dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana UMNO telah terpalit dengan amalan kleptokrasi yang jelas tidak selari dengan prinsip perjuangan parti Pejuang.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, parti terbabit masih terbuka untuk sebarang perbincangan mengenai kerjasama terutama dengan pihak yang berada pada 'jalur Melayu'.

"Kami masih terbuka untuk berbincang, tetapi seperti mana yang disarankan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kita akan ikut jalur Melayu,

Iklan

"Jadi dari situ kita boleh faham ada pihak yang kita tidak boleh ikut dan walaupun Melayu tetapi terpalit dengan kleptokrasi, yang itu pun kami tidak boleh bekerjasama.

"Saya katakan dari dulu, kami berpegang teguh kepada prinsip 'di mana ada UMNO, di situ kami tiada'," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga di sini pada Khamis.

Bekas Menteri Besar itu juga memaklumkan bahawa Pejuang belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menyertai PRN ataupun tidak.

Iklan

"Kita belum buat keputusan, tetapi perkara ini banyak dibincang dalam kepimpinan parti, yang penting pada waktu ini adalah penyertaan kami dalam Proklamasi Orang Melayu," katanya.

Mukhriz dalam masa sama turut menyatakan masih belum memutuskan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dalam PRN akan datang.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional telah membuat keputusan menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri kepimpinan tertinggi komponen parti PN.