Kerajaan sentiasa hargai, sokong jururawat di negara ini

Iklan
Dr Zaliha

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa menghargai dan memberikan sokongan kepada jururawat yang berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat Malaysia, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Sempena Hari Jururawat Sedunia pada Jumaat, Dr Zaliha juga berharap agar semua jururawat terus berusaha dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jururawat yang berkhidmat di Malaysia. Terima kasih atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang perkhidmatan.

"Anda semua telah menunjukkan semangat kerjasama dan dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya menerusi laman Facebooknya, pada Jumaat.

Iklan

Dr Zaliha juga menyifatkan jururawat sebagai aset penting dalam sistem kesihatan negara kerana tugas dan tanggungjawab mereka amat penting dalam memastikan pesakit mendapat rawatan berkualiti dan profesional.

Menurutnya, jururawat juga menjadi penjaga kepada kesejahteraan pesakit di hospital, pusat kesihatan dan klinik-klinik di seluruh negara.

Iklan

"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di Malaysia. Semoga hari ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya peranan jururawat dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia," katanya. - Bernama