SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor mencatat pencapaian terbaik pelaksanaan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dari segi kutipan hasil dan pendaftaran pekerja asing.
Pengarahnya, Dr Muhammad Syahmi Jaafar berkata, bukan sahaja berjaya memperoleh kutipan hasil tertinggi yang dianggarkan melebihi RM100 juta, permohonan pendaftaran pekerja asing juga begitu besar.
Beliau berkata, kumpulan majikan yang mendaftar secara dalam talian menerusi Sistem Temu Janji Online (STO) untuk program RTK di Selangor adalah berjumlah 182,754 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kata beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,794 orang PATI telah selesai menjalani urusan verifikasi di peringkat JIM.
"Bagi jumlah PATI yang telah diverifikasi di peringkat JIM, sebanyak 19,699 permohonan diluluskan.
"Faktor menjadikan Selangor mencatat jumlah permohonan yang tinggi kerana terdapat banyak kilang di negeri ini, selain ditambah dengan sektor pembinaan dan perkhidmatan yang besar.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan hari pertama program RTK 2.0 bagi pembantu rumah asing (PRA) di Kompleks PKNS, dekat sini.
Muhammad Syahmi berkata, penggunaan sepenuhnya STO bagi urusan verifikasi PATI dilihat telah melancarkan urusan, selain dapat mengelak kesesakan dan lambakan kehadiran majikan serta pekerja asing.
Menerusi STO, jelasnya, kumpulan majikan yang telah mendaftar akan dimaklumkan untuk hadir bersama pekerja bagi menjalani verifikasi di pejabat JIM.
Menurut beliau, JIM Selangor menetapkan sasaran sekurang-kurangnya seramai 800 orang PATI dapat diverifikasi setiap hari, sekali gus memastikan kesemua permohonan diterima dapat diselesaikan dengan kadar segera tanpa sebarang urusan tertunggak.
"Bagi memastikan semua pendaftaran dapat diselesaikan segera, JIM Selangor telah melanjutkan tempoh operasi sehingga jam 10 malam dari Isnin hingga Sabtu.
"Penggunaan STO banyak memberi kelebihan dan kebaikan dalam melicinkan urus pendaftaran, seterusnya dapat menyusun jadual kehadiran pekerja dan majikan secara teratur serta tidak menyebakan lambakan orang di kawasan awam," katanya.
Sementara itu mengulas program RTK 2.0 bagi sektor PRA yang baru bermula hari ini, Muhammad Syahmi berkata, pelaksanaan itu sangat penting dalam mendaftar golongan pekerja yang masih belum melaksanakannya.
Katanya, bagi tahun 2023 sehingga kini, terdapat 7,250 pembantu rumah asing yang masih aktif di Selangor.
Menurutnya, warga asing yang paling banyak di dalam sektor pembantu rumah asing di Selangor adalah dari Indonesia iaitu sebanyak 4,686 orang, diikuti Filipina (2,091); Vietnam (201); India (99); Kemboja (97), Sri Lanka (43); Thailand (25); Nepal (3) dan lain-lain negara sebanyak lima orang.
"Bagi program RTK 2.0 PRA, JIM Selangor menerima 733 permohonan pada hari permulaan bagi urusan verifikasi dijalankan pada hari ini," katanya.