KUALA KANGSAR - Pensyarah Program Kulinari, Khairul Ashikhin Abdullah Suhami telah dipilih sebagai Duta Malaysia Lambassador 2023.
Kolej Komuniti Chenderoh dalam satu kenyataan memaklumkan lantikan dan pemilihan itu dibuat oleh Meat & Livestock Australia (MLA) sempena Australian Lambassador Induction Program to Melbourne, Victoria, Australia, minggu lalu.
"Program Lambassador di Melbourne merupakan kolaborasi bersama Kerajaan Victoria, Australia ini telah diadakan pada 30 April hingga 6 Mei lalu memberikan pengalaman yang cukup bermakna kepada semua Lambassador.
"Mereka diberi tugasan cabaran memasak seperti masterchef di Melbourne Cricket Grand Stadium untuk hidangan 60 orang menggunakan daging biri-biri yang terpilih.
"Pasukan beliau yang dikenali sebagai 'The Bones' terdiri daripada Lambassador dari China, Brian; Rizky (Indonesia), Laura (Amerika) dan Aziz dari Arab Saudi telah tampil juara dalam cabaran memasak tersebut," katanya di sini pada Jumaat.
Menurutnya, Meat & Livestock Australia merupakan sebuah syarikat yang memantau dan mengawal selia standard pengurusan daging serta hasil ternakan di Australia dan pasaran antarabangsa.
"Terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan oleh pihak MLA yang mana salah satunya figura dalam bidang kulinari adalah berupaya mendidik dan boleh mempengaruhi masyarakat.
"Selain itu, ia juga berdasarkan rekod pencapaian cemerlang dalam pertandingan masakan di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
Tambahnya, duta yang dipilih adalah dalam kalangan chef profesional, pemilik restoran, 'food blogger' dan pempengaruh.
"Selain Malaysia, Lambassador lain yang dilantik adalah dari Jepun, Korea, China, Arab Saudi, United Kingdom, Amerika, Kanada, Indonesia, Taiwan, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina selama setahun.
"Pada program itu, para Lambassador juga berpeluang mengikuti lawatan ke ladang ternakan biri-biri di samping menyaksikan proses demonstrasi penyembelihan biri-biri," katanya.
Untuk rekod, Khairul Ashikhin pernah memenangi tempat pertama dalam kategori Aussie Lamb Nasi Ambeng Competition di Selangor tahun lalu.
Pencapaian itu menjadikan Kolej Komuniti Chenderoh setanding dengan chef profesional terkemuka di seluruh dunia.