IWK diiktiraf Agensi Air Awam Terbaik 2023 di Berlin

Iklan
IWK diwakili Narendran (kiri) menerima Anugerah Cemerlang kategori Agensi Air Awam Terbaik pada pada Anugerah Air Global 2023 di Berlin baru-baru ini. (Gambar kecil:Trofi Anugerah Cemerlang kategori Agensi Air Awam Terbaik dinobatkan kepada IWK.)

KUALA LUMPUR - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang kategori Agensi Air Awam Terbaik pada Anugerah Air Global 2023 di Berlin baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, anugerah berkenaan bukan sahaja mengiktiraf peranan IWK bahkan ia membawa pencapaian terbaik negara di peringkat global.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penerimaan anugerah itu diambil kira menerusi komitmen IWK terhadap tiga tunjang utamanya iaitu kemampanan operasi, kewangan dan alam sekitar.

"Kami sangat teruja untuk menerima anugerah itu dan berdiri bersama agensi air yang paling dihormati di dunia selepas disenarai pendek bersama tiga syarikat lain Metropolitan Waterworks and Sewerage System Regulatory Office, Filipina; Mekorot, Israel dan Budapest WaterWorks dari Hungary,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Narendaran berkata, IWK akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua yang dilakukan, terutamanya dalam kemajuan dan usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs).

"Dedikasi IWK terhadap kecekapan operasi terbukti dalam kadar pematuhan efluen 97 peratus di lebih 7,000 loji rawatan malah syarikat juga telah menambah baik kecekapan kutipan dan prestasi kewangan untuk memacu keberkesanan operasi perniagaan.

Iklan

"Untuk penambahbaikan alam sekitar, IWK telah mula melaksanakan inisiatif hijau seperti penjanaan tenaga biogas, pengeluaran baja organik daripada enap cemar dan program tenaga solar,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Ahli Lembaga Pengarah IWK; pihak berkepentingan dan kakitangan IWK atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.

Anugerah Air Global telah diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Air Global 2023 yang menghimpunkan kira-kira 800 pemain air yang terdiri daripada pembuat dasar, pemimpin utiliti, pelabur, pengguna air industri, inovator dan kontraktor yang ingin menangani cabaran umum utiliti.