IPOH - Sempena sambutan Hari Guru, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan agar guru-guru diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu diberikan ke atas 14 masjid daerah seluruh negeri termasuk Masjid Sultan Idris Shah II dan Masjid Sultan Azlan Shah.
"Sebagai mengiktiraf peranan penting warga guru dalam negara, baginda turut menitahkan agar khutbah Jumaat di negeri ini bertemakan Guru Insani Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun," katanya.
Guru yang diperkenan membacakan khutbah ialah guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yuan, Muhammad Anas Mohamed Salleh (daerah Kinta Selatan); Mohamad Sauffi Asyraf Mad Isa (Sekolah Menengah Agama Ad Diniah Al Islamiah-Kuala Kangsar); Mohd Fauzi Jusoh (Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti-Batang Padang); Ahmad Yusoff Abas (SJKC Hwa Lian-Manjung); Mohamad Khairi Abdullah (SMA Al Ulum Asy Syariyyah-Bagan Datuk); Ahmad Hafidz Shafiee (SMK Batu 4-Hulu Perak).
Selain itu, Noor Dashriman Noor Kaman (Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara-Masjid Sultan Azlan Shah); Mohd Zaib Ab Ghani (PPD Perak Tengah); Muhammad Fadzilan Rasdi (PPD Larut Matang Selama); Mohamad Azman Chat (PPD Kerian); Mohd Hasri Hassan (PPD Hilir Perak) dan Mohd Naim Mohamad (PPD Muallim).
Turut diperkenan, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri, Muhammad Yahya (Masjid Sultan Idris Shah II) dan Norhanizam Mohd Tajuddin (Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai JPN-Sungai Siput).
Sementara itu, Khutbah Jumaat menekankan guru umpama ibu bapa kedua kerana tanpa jemu mencurahkan ilmu, tekun menitipkan nasihat dan membimbing ke jalan benar agar anak didik menjadi insan berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia.
Menurutnya, dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab mengilmukan anak didik, para guru berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran hingga ada kalanya perlu memikirkan ramuan dan pendekatan baharu ketika menghadapi masalah di luar jangkaan.
Ujar teks berkenaan, Ketika negara menghadapi pandemik Covid-19, guru diperlukan mendidik pelajar dalam keadaan tidak ada duluan yang belum pernah dilalui.
"Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terhenti, digantikan dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara maya.
"Ketika itu, guru tidak mempunyai latihan, tidak mendapat sepenuh bimbingan dan tidak berpeluang mendapat pendedahan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah.
"Tanpa memberi helah dan alasan, dalam masa singkat, para guru berusaha sedaya mungkin, menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu untuk menyempurnakan amanah dan tanggungjawab seorang pendidik," katanya.
Teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu mengajak orang ramai mengucapkan penghargaan kepada guru-guru yang pernah mendidik atau sedang mendidik anak-anak dengan mengutus surat atau kad ucapan terima kasih diiringi hadiah sebagai tanda peringatan bagi mereka yang berkemampuan.
Juga menjadikan amalan harian dengan menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah, mendoakan kesejahteraan guru-guru yang masih hidup atau yang telah kembali ke Rahmatullah.
"Islam meletakkan guru di kedudukan tinggi selaras dengan tugasnya yang bukan sahaja membantu membimbing insan dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran untuk tugas-tugas duniawi, tetapi turut membekalkan ilmu dan membimbing amal untuk keperluan ukhrawi," katanya.
Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru.
Tarikh 16 Mei diambil kerana pada hari tersebut dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara.
Dokumen dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.