KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson optimis The Reds bakal lebih menyengat menerusi pelbagai pilihan jentera serangan pada musim depan.
Luis Diaz kembali daripada kecederaan beberapa minggu lalu melegakan jurulatihnya, Jurgen Klopp.
Kepulangan Diaz menyaksikan The Reds kembali mendapatkan prestasi terbaik dan memperoleh enam kemenangan berturut-turut untuk membantu mereka bersaing dalam perebutan penamat empat teratas.
Liverpool memiliki enam penyerang ketika ini, namun Roberto Firmino dikhabarkan akan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.
Menerusi lima penyerang yang tinggal - Mohamed Salah, Darwin Nunez, Diogo Jota, Cody Gakpo dan Diaz, Henderson percaya Liverpool mampu bersaing dengan lebih sengit musim depan.
"Setiap perkara bergerak mengikut masa dan kami memiliki pemain baharu yang boleh masuk ke bahagian serangan. Mereka merupakan pemain yang amat menarik.
"Kami memiliki ramai pemain berkualiti yang boleh ke bahagian depan dan mereka boleh menjaringkan gol. Jadi kami perlu menggunakan kelebihan itu musim depan,” Henderson.
Berbaki tiga saingan sebelum tirai EPL ditutup musim ini, pemain tengah The Reds itu berharap, rakan sepasukan dapat mempamerkan aksi terbaik untuk meraih keputusan positif.
"Harap kami dapat menamatkan tiga perlawanan terakhir ini dengan positif dan membawa kecemerlangan itu ke musim depan,” katanya