SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya ‘buat-buat tidak nampak’ berkenaan permohonan rakyat berkaitan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah lama dilakukan.
Namun begitu, katanya, Anwar dilihat bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada kumpulan rock British, Coldplay yang akan mengadakan konsertnya di negara ini pada November depan.
Iklan
Iklan
Wan Saiful turut kagum dengan Ahli Parlimen Tambun itu yang turut meluangkan masa bersama peminat untuk menonton filem berkenaan dirinya namun tidak mempunyai masa untuk mendengar rintihan rakyat dan solusi daripada badan bukan kerajaan (NGO) berhubung KWSP bersasar.
"Tetapi, saya lagi teruja salam rakyat #kwspbersasar yang memohon prihatin seorang Menteri Kewangan sebelum Coldplay datang Kuala Lumpur pun, dia buat-buat tak nampak,” katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.
Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mendakwa Anwar gagal menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seperti yang dijanjikan semasa ucapan penggulungan Presiden pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 pada 2022.
"Bila sudah dapat kuasa, mungkin dia buat-buat tidak nampak atau dia buat-buat lupa. Takkanlah tidak bincang dengan menteri raja formula (Rafizi Ramli) kot. Dulu masa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, raja formula ini bukan main lagi menang bab formula harga minyak.
"Agaknya, mereka kena jadi pembangkang semula kot?” soalnya.