Saman fitnah: Rayuan Sultanah Terengganu didengar 22 September

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 22 September untuk mendengar rayuan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman baginda terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi kerana didakwa memfitnah baginda.

Peguam, Sultanah Nur Zahirah, Datuk Mohd Haaziq Pillay ketika dihubungi Bernama, mengesahkan penetapan tarikh pendengaran rayuan itu selepas pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Zuhrina Mohamed Nor.

Iklan
Iklan

Pada 31 Oktober tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan menolak saman Sultanah Nur Zahirah terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Pesuruhjaya kehakiman itu memutuskan bahawa tiada kenyataan fitnah dalam buku Rewcastle-Brown bertajuk"The Sarawak Report-The Inside 1MDB Expose".

Iklan

Sultanah Nur Zahirah kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 7 November tahun lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah menyaman Rewcastle-Brown, Gerakbudaya dan Vinlin Press menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan pencetak berhenti mencetak buku berkenaan.

Iklan

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu serta menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, menjadi penasihat TIA.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle-Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan baginda (Sultanah Nur Zahirah) terbabit dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB. - Bernama