Hapuskan amalan ekonomi kroni

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Prof Dr Awang Azman, Wan Azliana, Dr Hussain Yusri

SHAH ALAM - Sokongan rakyat akar umbi dan kerjasama semua kepimpinan tertinggi politik dituntut bagi menghapuskan amalan ekonomi kroni di negara ini.

Penganalisis politik dan sosial, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, meskipun menghapuskan amalan itu bukan tugas mudah kerana melibatkan kepentingan elit ekonomi yang menguasai sebahagian besar ekonomi negara dansudah lama membelenggu negara, namun ia tidak mustahil dengan iltizam bersama.



"Oleh itu, untuk bergerak ke depan, agenda membasmi isu ekonomi kapitalisme kronisme yang merupakan agenda berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlulah disokong oleh seluruh lapisan rakyat di bawah Malaysia Madani.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH dengan wujudnya kebersamaan kita, perkara ini boleh dilakukan," katanya kepada Rasuah Busters pada Jumaat.

Terdahulu laporan majalah The Economist mendedahkan Malaysia menduduki tempat ketiga daripada 43 negara di belakang Rusia dan Republik Czech dalam indeks kapitalisme kroni.

Iklan

Indeks tersebut menyenaraikan Singapura di tempat keempat manakala Mexico kelima.

Majalah mingguan yang berpangkalan di Britain itu mengira indeks berkenaan berdasarkan sama ada kehidupan dalam ekonomi kapitalis mudah dipengaruhi oleh kapitalisme kroni atau sebaliknya.

Iklan

Indeks berkenaan menyenaraikan 43 negara masing-masing dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$250 bilion (RM1.11bilion) dan menganggarkan jumlah keuntungan plutokrat daripada industri 'rent-seeking' (mencari sewa) yang mendapat manfaat pilih kasih oleh kerajaan.

Kroni kapitalis adalah amalan menggunakan hubungan rapat dengan pemimpin politik dan kerajaan untuk mendapatkan kelebihan yang tidak adil di pasaran.

Dalam pada itu tambah, Awang Azman berkata, dalam mendepani isu ini juga perlunya agenda ekonomi humanistik dan merakyat oleh kerajaan.

"Selain perlunya negara menangani keadilan sosial dan merapatkan ketidaksamaan jurang ekonomi yang semakin melebar," tegasnya.

Sementara itu menurut pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, pendedahan laporan oleh majalah The Economist itu perlu segera diambil tindakan oleh kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar .

"Peranan kerajaan dan agensi berkaitan perlu memastikan amalan oligopoli dan monopoli dihapuskan dan mengembalikan ekonomi yang sihat dengan peningkatan daya saing di pasaran secara adil dan saksama.

"Selain itu, kerajaan perlu menegakkan prinsip kebebasan tenaga kerja dalam sistem ekonomi, di mana pekerja dan pengusaha dapat berkomunikasi dan bernegosiasi mengenai pemilihan cara yang paling praktikal dan adil untuk mencapai matlamat bersama.

"Ini akan membawa kepada peningkatan ketelusan dalam urus niaga dan sumber daya manusia yang lebih produktif, efisien dan berdaya saing," katanya.

Tambahnya, turut perlu diberi penekanan adalah meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu kapitalisme kroni melalui pendidikan awam dan bahan maklumat.

"Dalam masa yang sama, tindakan kerajaan dalam menyokong sistem pemusatan ke atas ketelusan perlu diberi perhatian serius," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan menyifatkan laporan itu sebagai satu 'pencapaian' yang memalukan Malaysia.

"Ini berlaku kerana politik wang, selagi penguatkuasaan tegas tidak diambil selagi itu perkara ini akan berlaku.

"Walaupun usaha melaungkan antirasuah saban tahun dilaungkan tapi kronisme masih berlaku, kerana hubungan politik dengan ahli perniagaan, inilah natijahnya," katanya.