ARAU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menolak kerjasama dengan UMNO, ketika parti pimpinannya itu berada pada kedudukan tercorot.
Ahmad Zahid menyifatkan tindakan sedemikian sebagai ‘bodoh sombong’ dan dilihat tidak serik dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan kesemua calonnya hilang deposit.
"Parti itu ketika ini tidak mahu bekerjasama dengan kita di sini, tetap ditolak pembangkang. Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada parti itu.
"Semoga terus hilang deposit dalam PRN, saya yakin mereka akan sertai pilihan raya tersebut," katanya dalam sidang akhbar ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perlis di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.
Ahmad Zahid berkata, kepimpinan parti itu yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad sewajarnya menyelesaikan kemelut dalaman sebelum ‘menyerang’ parti lain khususnya bawah Kerajaan Perpaduan.
"Pemimpin parti itu (seeloknya) selesaikan masalah dalaman parti mereka sebelum komen mengenai Barisan Nasional (BN) atau parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana parti yang boleh mendabik dada mahu menterjemahkan agenda Islam dan Melayu.
"Gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan juga memperjuangkan agenda Islam dan Melayu biarpun dilihat bersifat majmuk. Namun kita tak pernah lupa satu pun agenda Islam dan Melayu, selain tidak ketepikan agenda agama dan bangsa lain.
"Oleh itu jangan ada mana-mana pihak yang mendabik dada konon hanya mereka yang perjuangkan Islam dan Melayu,” katanya.
Menurutnya, selagi semua pihak menghormati hak masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan negara, ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
"Kita tak akan ganggu mereka (bukan Islam) selagi mereka tak ganggu kita. Ini juga termaktub dalam perlembagaan UMNO bahawa kita menjadikan agama Islam sebagai objektif perjuangan parti tanpa ketepikan mana-mana agama,” jelasnya.
Menurutnya lagi, agenda yang memperjuangkan Islam dan Melayu turut didokong parti-parti pelbagai kaum yang bergabung bawah Kerajaan Perpaduan.
"Dalam sifat kemajmukan negara ini yang pelbagai kaum maka perlu hormati asas tersebut namun tiada kompromi (dalam hal berkaitan). Malah ia turut didokong rakan-rakan komponen kita termasuk di Sabah dan Sarawak yang memahami (kepentingan) perkara itu,” katanya lagi.
Pada Khamis, Mukhriz dilaporkan mengesahkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang turut disertai UMNO dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.
Ini kerana UMNO yang terpalit dengan amalan kleptokrasi tidak selari dengan prinsip perjuangan Pejuang.
Beliau, bagaimanapun berkata, parti pimpinannya masih terbuka untuk perbincangan mengenai sebarang kerjasama terutama dengan pihak-pihak yang berada pada 'jalur Melayu'.