KUALA LUMPUR - Pengumuman Bank Negara Malaysia bahawa ekonomi negara tidak lagi berada dalam krisis dan terus mencatatkan pertumbuhan memberikan rangsangan yang besar kepada sentimen, tiga tahun sejak negara dilanda pandemik.
Bank pusat hari ini mengumumkan Malaysia merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus, disokong oleh permintaan domestik, pertumbuhan kukuh pasaran buruh dan peningkatan berterusan gaji yang menyokong perbelanjaan penggunaan.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada 2023 akan terus disokong oleh pengembangan selanjutnya perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran buruh yang bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang rancak.
"Seluruh ekonomi tidak lagi berada dalam krisis, malahan, ia terus mencatatkan pertumbuhan,” katanya pada sidang media sempena pengumuman prestasi ekonomi Suku Pertama 2023 negara.
Pertumbuhan KDNK itu selari dengan unjuran yang dibuat oleh beberapa firma penyelidikan serta bank dan mengatasi unjuran lemah di bawah 5 peratus.
Unjuran Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) dan TA Research adalah tepat. BIMB berkata, memandangkan Malaysia telah mencatatkan prestasi suku pertama terbaik sejak 2015, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh sebanyak 4.5 peratus.
"Pertumbuhan begitu memberangsangkan pada suku pertama disokong oleh permintaan kukuh dalam negeri, ditambah pula dengan inflasi yang menyederhana di tengah-tengah keadaan ketidaktentuan luar,” kata ketua ekonomi BIMB, Firdaos Rosli dalam satu nota penyelidikan.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang baik sebanyak 5.6 peratus dengan kedua-dua enjin, permintaan domestik dan eksport, masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 54.4 peratus.
"BNM juga menjangkakan ekonomi akan mencapai status guna tenaga penuh tahun ini, yang bermakna perbelanjaan dalam kalangan isi rumah akan terus bertahan.
"Namun begitu, kadar inflasi dijangka kekal tinggi.
"Risiko meningkat dijangka dipengaruhi oleh harga komoditi global, inflasi import daripada ringgit yang lemah, permintaan kukuh dari China dan semakan lebih besar kepada subsidi dan dasar had harga,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pada satu tahap, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini adalah wajar memandangkan trajektori pertumbuhan telah menjadi normal.
"Kesimpulannya, ekonomi Malaysia berada di landasan untuk merekodkan pertumbuhan KDNK 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini. Bagi OPR pula, saya berpandangan tidak ada keperluan yang mendesak untuk menaikkannya lagi kerana ia telah mencecah paras yang konsisten dengan trajektori pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata, BNM juga perlu mewujudkan ruang dasar yang selesa untuk tindak balas ke atas kejutan masa depan.
Justeru, OPR sewajarnya kekal pada tiga peratus bagi baki tempoh tahun ini, katanya.
Dalam mesyuarat dasar monetari kali ketiga bagi 2023 yang diadakan pada 3 Mei lepas, bank pusat mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.
Ringgit mengukuh selepas kenaikan OPR diumumkan walaupun kalangan ahli ekonomi berpandangan mata wang tempatan masih jauh daripada kadar kukuh Januari iaitu 4.2345 berbanding dolar AS.
Semasa penutupan dagangan pada Khamis, unit tempatan susut kepada 4.4615/4665 daripada 4.4565/4605 ketika ditutup pada Rabu.
Penyelidikan oleh MIDF yakin apabila Rizab Persekutuan AS memutuskan kadar faedah dikekalkan tidak berubah, mata wang tempatan akan meningkat dengan pantas.
Penyelidikan MIDF mengunjurkan AS$/MYR kepada purata RM4.20 bagi US$1 manakala RM4 pada akhir tahun.
Selain itu, dalam menyokong kestabilan ekonomi negara-negara, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa pembuat dasar supaya mengutamakan dasar fiskal yang konsisten memandangkan unjuran jangka masa terdekat masih sukar.
"Banyak negara akan memerlukan tahap fiskal yang ketat untuk menyokong proses disinflasi yang berterusan, khususnya jika inflasi yang tinggi berlanjutan.
"Dasar fiskal yang lebih ketat akan membolehkan bank-bank pusat meningkatkan kadar faedah kurang daripada yang sepatutnya mereka putuskan, dan ini akan membantu mengehadkan kos pinjaman bagi kerajaan dan memastikan kerentanan kewangan dapat dikawal.
"Dasar fiskal yang lebih ketat memerlukan jaringan keselamatan disasarkan secara lebih baik untuk melindungi isi rumah yang paling rentan, selain menangani ketakjaminan makanan di samping mengekang pertumbuhan perbelanjaan keseluruhan, memandangkan kerajaan mungkin menghadapi tekanan sosial untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup sebelum ini,” menurut IMF. - Bernama