ALOR SETAR - Penduduk Kampung Teluk Kandeh, Alor Mengkudu, di sini, menghidupkan kembali tradisi jamung melalui Temasya Aidilfitri Teluk Kandeh pada Jumaat.
Penduduk, Zainuddin Ismail, 49, berkata, jamung yang dihasilkan daripada buluh dan gumpalan kain itu merupakan alat suluh penduduk zaman dahulu untuk menerangi kegelapan.
Menurut kartunis yang juga dikenali sebagai Cekeding itu, jamung ataupun jamo mengikut loghat tempatan itu dahulu kerap digunakan ketika kenduri-kendara dan majlis khatan.
"Dahulu, orang ramai gunakan buluh saiz besar lalu dipotong sebelum dimasukkan damar ke dalam bahagian batang. Ketika itu, getah damar mudah diperoleh dan jamung biasanya digunakan untuk apa-apa majlis.
"Namun, disebabkan kita hendak damar semakin payah, kita ubah suai (cara pembuatan) dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Tradisi Din Budak Bendang, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, jamung kini boleh dihasilkan menggunakan buluh, tin, dawai dan guni ataupun kain lama sebagai sumbu untuk pencahayaan.
Sehubungan itu, menurutnya, dia cuba menerapkan pengetahuan membuat dan mempopularkan kembali tradisi jamung itu.
"Saya ingin memastikan tradisi ini sentiasa hidup supaya budak-budak tahu cara hendak membuatnya,"katanya.
Zainuddin berkata, dia akan terus menggunakan jamung pada masa akan datang terutamanya semasa sambutan perayaan.
Menurut seorang peserta, Mohd Irfan Malik,15, dia berasa teruja apabila berpeluang menyertai pertandingan membuat jamung itu.
Menurut, dia tidak pernah melihat ataupun menghasilkan jamung api daripada buluh dengan gumpalan guni selama ini.
Mohd Irfan berkata, meskipun pembuatannya agak sukar, namun dia tetap seronok mempelajari tradisi membuat jamung.
Sementara itu, Pengarah Program Temasya Aidilfitri Teluk Kandeh, Mohd Redzuan Zainal berkata, pihaknya mencari kelainan untuk meraikan Aidilfitri tahun ini dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuklah membuat jamung.
Menurutnya, jamung ini diibaratkan seperti pelita pada zaman dahulu bagi memberi pencahayaan, namun kini dibuat menggunakan beberapa peralatan lain termasuklah buluh.
Sehubungan itu, Mohd Redzuan, pertandingan membuat jamung diadakan bagi membolehkan penduduk merasai suasana ketika zaman 50-an sebelum muncul teknologi moden.
"Antara lain, kami turut mengadakan aktiviti membalut ketupat, mengupas dan mengukur kelapa, membakar lemak, memasak rendang serta senamrobik dengan memakai baju tradisi bermula seawal jam 8 pagi.
"Alhamdulillah, program diadakan mendapat sambutan menggalakkan dengan penduduk mengikut tema baju Kedah dan kain batik untuk wanita, malah reruai dihias dengan tema tahun 50-an hingga 60-an,"katanya.