Jawatankuasa Kabinet ditubuh tangani gangguan bekalan gula

Iklan
Kekurangan gula dilaporkan hanya berlaku di Kelantan dan Terengganu. - Gambar hiasan. - Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Kabinet mengenai hala tuju bekalan gula telah ditubuhkan bagi menangani kekurangan bekalan dan memastikan kestabilan harga barangan tersebut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas itu turut menggabungkan tiga kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.

Iklan
Iklan

"Susulan itu, mesyuarat di peringkat pegawai telah pun bermula dan kita menyasarkan tempoh sebulan diperlukan sebelum jawatankuasa mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Salahuddin berkata, jawatankuasa itu juga akan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi mendapatkan input dan pandangan berhubung perkara tersebut.

Iklan

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan pelan yang dirangka adalah bersifat komprehensif sekali gus membantu kerajaan menangani isu gangguan bekalan dan ketidakstabilan harga gula yang memberi kesan kepada rakyat secara lebih berkesan.

"Dengan pelan komprehensif dan langkah yang akan diambil kelak, saya yakin isu gangguan bekalan dan kestabilan harga gula akan ditangani sebaiknya," katanya.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, bekalan gula di Kelantan dan Terengganu terputus sejak 22 April lepas sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga serta penduduk dan menurut KPDN, gangguan itu berpunca susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang ekoran cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun kedua-dua kilang telah kembali beroperasi pada 25 April dan Salahuddin pada 2 Mei lepas mengumumkan gangguan bekalan gula di Pantai Timur telah pulih. - Bernama