Buruh rogol budak hingga lahirkan bayi dijel 30 tahun, 8 sebatan

Iklan
Gambar hiasan.
PUTRAJAYA - Seorang buruh am perlu menjalani hukuman penjara 30 tahun dan lapan sebatan kerana merogol dan melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun sehingga mangsa melahirkan seorang bayi perempuan, lima tahun lalu.

Keputusan itu dicapai selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah menolak rayuan Ruslan Bacika supaya hukuman penjara untuk kedua-dua sabitan terhadapnya dijalankan serentak.

"Bagi kami, anda amat bertuah kerana mendapat hukuman itu berbanding satu lagi kes rogol baru-baru ini di mana orang itu mendapat 36 tahun dan 20 sebatan,” kata Hakim Kamaludin kepada Ruslan.

Ruslan, 59, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol gadis itu yang berusia 12 tahun ketika itu di sebuah rumah pada 27 Mac 2018 dan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis itu pada 15 Jun dan 19 Jun, 2018.

Pada 13 Februari 2019, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan memerintahkan tertuduh dikenakan empat sebatan bagi kesalahan merogol bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Julai 2018.

Ruslan juga dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal berjalan serentak, bermakna dia hanya menjalani hukuman penjara 10 tahun.

Walau bagaimanapun, pemenjaraan 10 tahun hanya akan bermula selepas Ruslan selesai menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan rogol.

Pada 20 Januari 2020, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap hukuman.

Menurut fakta kes, mangsa yang tinggal bersama ibunya di sebuah bilik sewa dan tertuduh turut tinggal dalam bilik sewa lain dalam rumah tersebut.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P.A. Sahrron mewakili perayu manakala pendakwaaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

Kelmarin, seorang bekas operator kren dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Rayuan kerana merogol dua anak perempuannya yang di bawah umur. - Bernama