SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak timbul isu beliau mengetepikan mana-mana parti politik Melayu yang wujud susulan tindakannya meninggalkan Gerakan Tanah Air (GTA).
Sebaliknya, keputusan itu dibuat bagi menumpukan gerakan Proklamasi Orang Melayu.
"Saya merasa bahawa jika saya bergerak di atas landasan parti politik, ada orang Melayu dari parti politik yang lain tidak begitu selesa untuk menyokong proklamasi tersebut.
"Proklamasi ini bertujuan menyatu orang Melayu melangkaui garis politik.
"Ini bermakna orang Melayu yang juga ahli UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah (Parti Amanah Negara) serta juga segelintir yang ada di dalam DAP, jika berkongsi kesedaran yang ditimbul oleh Proklamasi ini akan turut menandatanganinya.
"Apabila orang Melayu dapat bersatu dan bersetuju dengan kesedaran yang ditimbul oleh Proklamasi, maka ia menjadi tanggungjawab setiap parti yang berlandas perjuangan Melayu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau juga belum memutuskan sama ada akan bergiat atas landasan politik ketika ini.
"Sama ada saya akan bergiat di atas landasan politik selepas ini bukan sesuatu yang perlu saya fikir ketika ini.
"Orang Melayu akan kehilangan segala-galanya jika kita tidak ada kesedaran dan kesemua parti-parti dan kumpulan-kumpulan yang memperjuang kepentingan orang Melayu tidak bersatu," katanya.
Media melaporkan Dr Mahathir mengesahkan beliau kini tidak lagi bersama dengan GTA dan memegang apa-apa jawatan dalam gerakan berkenaan.
Keputusan berkenaan dibuat selepas menyedari bahawa GTA tidak dapat berfungsi dengan baik selain gagal menarik sokongan pengundi terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lepas.