Sepupu kesal tak dapat selamatkan dua beradik rentung

Iklan
Gambar kenangan Aisyah dan Muhammad Huzaifah dalam bulatan kecil.

KOTA BHARU -"Saya minta maaf, tidak dapat selamatkan mangsa.”

Itu luah Siti Salwani Husin, 35, sepupu kepada dua beradik yang rentung dalam kebakaran di Kampung Gertak Kechupu, Mentuan di sini, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Mangsa, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31, yang mempunyai masalah kemurungan dan adik bongsunya, Aisyah Ab Halim, 22, juga orang kurang upaya (OKU) sindrom Down maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.

Rumah yang terbakar di Kampung Gertak Kechupu, Mentuan pada Jumaat.

Kata Siti Salwani, sebelum itu dia terdengar bunyi percikan api dan keluar dari rumahnya yang terletak berhadapan dengan rumah mangsa.

Iklan

"Saya nampak api marak di bahagian dapur mereka dan Aisyah menjenguk keluar dari jendela sambil melambai-lambai minta pertolongan. Saya menyuruhnya supaya segera terjun tetapi dia tidak terjun.

"Dalam keadaan panik, api terus marak dan asap tebal menyebabkan saya gagal untuk masuk ke rumah kayu itu bagi menyelamatkannya,” kata wanita itu sambil menangis dan memeluk salah seorang kakak Aisyah.

Siti Salwani

Iklan

Menurutnya, ketika kejadian, ibu dua beradik tersebut iaitu guru mengaji al-Quran, Robiah Ismail, 59, berada di masjid kira-kira 300 meter dari rumah mereka.

"Bapa mereka sudah lama meninggal dunia dan dua beradik itu tinggal dengan ibu mereka. Ibu saudara saya itu akan ke masjid setiap hari.

"Saya masih terbayang-bayang Aisyah meminta tolong dan amat sedih kerana tidak dapat menyelamatkannya,” katanya sayu.

Kakak Aisyah (kiri) menunjukkan gambar mereka sekeluarga.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 9.30 malam dan pemeriksaan anggota menemui mayat adik-beradik itu masing-masing di ruang tamu dan tandas.

"Seramai 25 anggota Balai Bomba Penyelamat Kota Bharu dan Pasir Tumboh bertugas memadam kebakaran tersebut.

"Pihak kami menyerahkan kepada anggota polis untuk membawa keluar mayat dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Mayat dua beradik masing-masing ditemukan di ruang tamu dan tandas rumah di Kampung Gertak Kechupu, Mentuan pada Jumaat.

Ujar beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.