KOTA BHARU - Seorang peniaga dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Pasir Puteh di sini, hari ini atas pertuduhan menculik bekas adik iparnya, tahun lalu.
Majistret, Azem Fatihi Kamal membuat keputusan itu terhadap Moh Ridzuan Mohd Yasin, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut pertuduhan menculik seorang remaja perempuan berusia 14 tahun daripada penjaga yang sah di sisi undang-undang.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Pachakan, Cherang Ruku di sini pada jam 4 pagi, 20 Jun 2018.
Pendakwaan terhadap Azem Fatihi dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dalam perbicaraan itu, seramai enam saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang kes yang berjalan sejak Oktober tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma'a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.